PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman sebagai Pengerusinya berkuat kuasa 1 Jun 2022 hingga 10 Februari 2024.
Menurut PPZ-MAIWP, Abdul Aziz, 76, anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (B.Com) dari University of New South Wales, Sydney, Australia.
Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Sains Pembangunan dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sosiologi Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Pada masa ini, Abdul Aziz menyandang beberapa jawatan lain antaranya Pengerusi Lembaga Pengarah di University Malaysia Pahang (UMP), Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Profesor Adjung Fakulti Pendidikan UKM.
“Beliau juga merupakan ahli Akauntan Bertauliah Malaysia dari Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Malaysian Institute of Accountants (MIA).
“Dengan kepakaran dan ketokohan yang dimiliki, beliau banyak memegang jawatan penting dalam syarikat korporat, pertubuhan sukan dan NGO, pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur dan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, Ahli Lembaga Pengarah, barisan Pengurusan dan warga kerja PPZ-MAIWP mengucapkan tahniah di atas pelantikan Abdul Aziz dan yakin dengan pengetahuan dan pengalaman luas yang dimilikinya mampu memacu dan memimpin PPZ-MAIWP menjadi sebuah institusi zakat unggul di Malaysia.
“Pada masa yang sama PPZ-MAIWP ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang telah tamat perkhidmatan pada 31 Mei 2022 di atas sumbangan dan khidmat beliau,” katanya. – UTUSAN









