PUTRAJAYA: Walaupun baru sahaja dilancarkan pada awal tahun ini, sebanyak 49 buah syarikat telah pun mendapat status Program Pecutan Berasaskan Biologi (BBA) di seluruh negara.
Perkembangan baik itu mendorong Bioeconomy Development Corporation Malaysia Sdn. Bhd. optimis menyasarkan mampu mencapai keseluruhan 100 buah syarikat menyertai program ini.
Angka berkenaan dianggap realistik dalam usaha agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu bagi menyokong misi agenda Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030.
Setakat ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak, kesemua syarikat terlibat mengunjurkan nilai pelaburan RM737 juta dengan 2,000 peluang pekerjaan.
“Sasaran ditetapkan dalam tempoh tiga tahun namun jika baki 51 buah syarikat menyertai BBA kelak, nilai pelaburan keseluruhan dijangka cecah RM2 bilion menjelang akhir 2025,” katanya selepas menyaksikan Majlis Pelancaran Program BBA secara rasmi oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, di sini hari ini.
Pada acara itu, beberapa anugerah disampaikan kepada syarikat yang menyertai BBA selain pertukaran dokumen memorandum persefahaman dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia.
BBA diolah oleh Bioeconomy Corporation untuk sokongan komprehensif pembangunan teknologi dan produk, akses pasaran, pengkomersialan, perkongsian fasiliti serta kemudahan dana.
Aspek bioteknologi dalam sektor pertanian antara tumpuan kementerian untuk agenda sekuriti makanan negara dan syarikat terlibat BBA itu berpeluang dinaik taraf kepada status BioNexus.
“Syarikat yang raih anugerah ini layak terima pelbagai insentif fiskal fasilitasi dan jaminan lain termasuk pengecualian cukai tertentu bagi memacu pertumbuhan,” kata Mohd. Khairul Fidzal.
Sejumlah 10 buah syarikat BBA ujarnya, dikenal pasti akan diberi taraf BioNexus yang diuruskan Bioeconomy Corporation dengan enam bakal menerima tahun ini dan bakinya tahun depan.
Pada masa yang sama katanya, agensi itu berharap lebih banyak syarikat tempatan sama ada pemula serta perusahaan kecil dan sederhana akan memohon untuk menyertai program BBA.
Langkah itu jelasnya, akan membantu syarikat tersebut bergerak maju kerana selama ini mereka berdepan kekurangan pendedahan, masalah rantaian bekalan, teknologi dan pemasaran.
Agensinya bersedia membantu mereka termasuk program pengambilan staf iaitu Biokerjaya @ My Future Agro, di samping aktiviti klinik e-Halal serta pembiayaan Dana Teroka Asas Tani.
“Kami turut ada membangunkan modul khas iaitu Kemudahan Teknologi, Pembangunan Produk dan Capaian Pasaran serta Promosi Eksport untuk peserta program BBA,” tambah beliau. – UTUSAN










