TNB tingkat hala tuju kelestarian dengan ladang angin luar pesisir - Utusan Malaysia

TNB tingkat hala tuju kelestarian dengan ladang angin luar pesisir

SEBUAH kapal jack-up melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada satu daripada daripada lima turbin angin luar pesisir Blyth 1 yang terletak di Blyth, Northumberland.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Vantage RE Ltd. (Vantage RE) meningkatkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) TNB dan sasaran sifar bersih dengan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL).

Pengambilalihan daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat kepada sebuah syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF) itu dimeterai pada 18 Oktober 2021, sekali gus menandakan kemasukan sulung TNB ke pasaran angin luar pesisir antarabangsa dengan BODL pada masa ini memiliki aset angin luar pesisir di luar pantai Blyth, Northumberland, England. 

TNB dalam kenyataan berkata, aset tersebut termasuk lima turbin dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 41.5MW (Blyth 1) dan hak pembangunan projek angin luar pesisir terapung sehingga 58.4MW (Blyth 2) yang terletak di luar pantai Northumberland.

Lima turbin 8.3MW Blyth 1 dipasang dengan teras berasaskan graviti yang menggunakan beban konkrit untuk memastikan turbin berada di tempatnya dengan selamat tanpa menembusi dasar laut. 

“Ladang angin itu telah beroperasi sejak 2017 di bawah skim subsidi Renewable Obligation Certificate (ROC) yang dijangka memberikan pulangan stabil. Blyth 2 pula merupakan projek angin luar pesisir terapung inovatif yang kini dalam peringkat awal pembangunan.

Pengambilalihan ini merupakan satu daripada pemerolehan strategik terancang untuk TNB mempercepatkan perjalanan melaksanakan visi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) globalnya,” menurut kenyataan.

Tahun lalu, TNB mengumumkan Hala Tuju Kelestariannya, satu pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. 

Hala Tuju tersebut disokong komitmen TNB mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

Vantage RE dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset RE TNB di UK dan Eropah dan sehingga kini, ia telah mencapai portfolio RE sebanyak 530.4MW termasuk tenaga angin dalam dan luar pesisir serta ladang solar di negara tersebut.

Sehingga Disember 2021, TNB mempunyai jumlah kapasiti RE sebanyak 3,487.2 MW termasuk 2,771.4MW di Malaysia dan 715.8MW di seluruh UK, Turki dan India, dan menyasarkan peningkatan kapasiti RE kepada 8,300MW menjelang 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya