Prestasi suku pertama syarikat positif, selari pertumbuhan KDNK - Utusan Malaysia

Prestasi suku pertama syarikat positif, selari pertumbuhan KDNK

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi kebanyakan syarikat Malaysia dilihat positif pada suku pertama 2022, selari dengan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus, sekali gus menjadi petunjuk pemulihan ekonomi sudah pun bermula.

Antara yang mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pengumuman prestasi suku pertama minggu lalu adalah Sime Darby Plantation Berhad, AEON Co. (M) Bhd., Duopharma Biotech Berhad, Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga) dan Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT).

Walau bagaimanapun, Petronas Gas Bhd. (PGB) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah pada RM410.58 juta berbanding RM516.40 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia disebabkan oleh kadar cukai efektif yang lebih tinggi berikutan pengenaan Cukai Makmur yang diperkenalkan kerajaan dan keuntungan pracukai yang lebih rendah.

Namun di sebalik prestasi tersebut, AmInvestment Bank dan MIDF Research masih mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM17.90 untuk PGB berikutan harga gas berada dalam aliran menaik sejak awal tahun ini, menyediakan kapasiti berterusan bagi kumpulan untuk memanfaatkan kenaikan harga.

Sementara itu, syarikat perladangan, Sime Darby Plantation mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM718 juta berbanding RM562 juta bagi tempoh sama tahun lalu, didorong harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi dalam segmen huluan dan prestasi hiliran yang lebih baik.

Harga purata direalisasikan minyak sawit mentah pada suku pertama 2022, berlegar pada purata RM4,465 satu tan metrik, meningkat 40 peratus tahun ke tahun berbanding RM3,185 setiap tan, manakala purata isirung meningkat 84 peratus kepada RM4,105 daripada RM2,230 setiap tan.

Namun, pada masa sama, kumpulan turut mengalami penurunan buah tandan segar (BTS) dari ladang Indonesia apabila pengeluaran kembali normal daripada paras tinggi yang direkodkan pada suku pertama 2021.

Selain itu, syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka, AEON meneruskan momentum pertumbuhan bagi suku pertama dengan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM28.1 juta, pertumbuhan 27.7 peratus berbanding RM22 juta yang diperoleh pada suku sama tahun lalu, didorong margin runcit yang lebih baik dan pengurusan kos secara berdisiplin.

Keuntungan syarikat farmaseutikal, Duopharma Biotech Berhad dan Pharmaniaga juga meningkat lebih tinggi dengan keuntungan Duopharma naik 15 peratus kepada RM20.29 juta manakala Pharmaniaga meningkat 16.5 peratus kepada RM27.73 juta. 

Duopharma memaklumkan, pendapatan pada suku-suku akan datang dirangsang oleh tender kerajaan yang disemak semula bernilai RM375 juta untuk membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulations yang telah diberikan kepada anak-anak syarikatnya manakala pertumbuhan kukuh Pharmaniaga merentas konsesi kumpulan dan perniagaannya di Indonesia selepas aktiviti perniagaan disambung semula berikutan kes Covid-19 semakin berkurangan.

Sunway REIT pula mencatat keuntungan di luar jangkaan bagi suku pertama apabila melonjak kepada RM106.32 juta daripada RM36.82 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh prestasi yang lebih baik daripada semua segmen perniagaannya.

Segmen runcit kumpulan merekodkan hasil kasar sebanyak RM98.4 juta, didorong prestasi yang bertambah baik di semua sektor hartanah runcit, terutamanya disumbangkan oleh Sunway Pyramid Mall yang menggandakan pendapatan kepada RM77.6 juta dalam tempoh itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya