Meraih jualan melebihi RM18 juta dalam tempoh empat tahun menjalankan perniagaan sememangnya bukan satu perkara yang mudah.
Lebih-lebih lagi untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang peniagaan.
Namun itulah rakaman kejayaan diraih Pengasas The Raw, Adibah Mazlan, 33 pada tahun keempat selepas memperkenalkan produk penjagaan wajah lima tahun lalu.
Lebih menarik, rangkaian produk berkenaan turut berjaya menembusi pasaran ke lebih 500 farmasi utama di seluruh negara dan turut dipasarkan secara atas talian dengan lebih 30 platform sebagai rakan kongsi.
Menceritakan faktor pencetus kepada penglibatannya dalam bidang kecantikan, Adibah berkata, masalah jerawat dihadapi pada usianya 15 tahun merupakan antara titik permulaannya.
Menurutnya, apa yang menjadi kebimbangan pada ketika itu adalah kos rawatan muka yang tinggi untuk ditanggung sebagai seorang pelajar.
Tambahnya, produk kecantikan pada ketika itu juga dipelopori oleh jenama asing dari luar negara selain persepsi orang ramai terhadap produk tempatan yang dikatakan tidak berkualiti.
“Bertitik tolak daripada situlah saya mula belajar dermatologi dan pendidikan kajian kosmetik.
“Dari situ juga saya belajar cara pembuatan dan pengilangan kosmetik yang betul, jadi ia memang satu kursus lengkap yang berikan saya pendedahan.
“Ahli farmasi memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal selia produk kosmetik,” katanya kepada Seri.
Adibah sewaktu ditemui, tampak cukup berkarisma menyarung blazer hitam, selayak dengan dunia usahawan diceburi kini.
Ujarnya ibu bapanya adalah tunjang kejayaan yang membentuk siapa dirinya hari ini dan membentuk dirinya ke arah bidang perubatan.
“Proses sebelum menjadi ahli farmasi itu tidak mudah kerana individu perlu memiliki kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Untuk jadi ahli farmasi, saya kena dapatkan semua A dalam peperiksaan bermula daripada tingkatan tiga lagi.
“Saya dapat lihat pembentukan oleh ibu bapa saya itu hingga berjaya melorongkan saya bidang ini,” katanya.
Adibah berniaga secara sambilan semasa berkhidmat sebagai ahli farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum mengambil keputusan berhenti kerja bagi menumpukan lebih perhatian kepada dunia perniagaan.
Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan selama hampir setahun bagi memberikan fokus sepenuhnya pada mengembangkan perniagaan yang baharu dibina.
Tidak dinafikan, dengan kestabilan kerjaya yang ada, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukannya.
“Saya percaya perkara ini memerlukan pengorbanan. Tidak mudah nak lepaskan keselesaan kerjaya yang saya ada ketika itu.
“Tetapi saya nampak untuk 10 tahun akan datang, saya perlu letak jawatan untuk lakukan benda ini dengan baik, kalau tidak susah untuk perniagaan ini terus pergi lebih jauh,” katanya.
Bercerita tentang reaksi keluarganya semasa diberitahu, Adibah berkata, pada mula, ibu bapanya agak terkejut dengan keputusan diambil.
Bagaimanapun, setelah memberikan penjelasan dan sebab kepada keputusan itu, ibu bapanya lantas memberikan sokongan.
“Masa saya beritahu memang famili terkejut. Maklumlah kerjaya saya waktu itu pun sudah cukup selesa, kenapa perlu berhenti.
“Tetapi selepas saya jelaskan semuanya, mereka mulai faham hasrat dan cita-cita saya itu,” katanya.
VISI YANG JELAS
Mempunyai hala tuju yang jelas adalah sesuatu perkara yang sukar terutama bagi perniagaan baharu.
Namun, tidak bagi pengasas muda ini, kerana visi yang ditetapkan dalam perniagaan telah pun dilihat dengan jelas sejak peringkat awal lagi.

Kongsi Adibah, sasaran telah pun ditetapkan pada peringkat awal pembinaan perniagaan itu.
Menurutnya, kejayaan terletak pada individu di belakang sesebuah syarikat dan bukan kepada masa yang diambil untuk mencapainya.
Sebagai seorang yang ‘gila kerja’, beliau meletakkan keutamaan kepada kekuatannya sebagai pengasas bagi memastikan perniagaannya berkembang.
“Masa saya mula lagi saya sudah nampak ke mana produk ini akan pergi dan dekat mana ingin diletakkan.
“Saya sasar untuk menjadikan produk kosmetik tempatan berada pada setaraf antarabangsa, kerana perkara ini tidak susah.
“Sebagai ahli farmasi, kita tahu bahan apa yang terbaik dan sesuai untuk selesaikan masalah kulit mengikut keperluan,” katanya.
SAINGAN KOSMETIK
Saingan dalam perniagaan melibatkan kecantikan merupakan antara yang paling banyak perlu dihadapi.
Ini tidak termasuk bagi sesetengah pengguna yang lebih cenderung untuk membeli produk berunsurkan ‘timbang kilo’ kerana lebih murah.
Tambah Adibah yang bertekad untuk menjual pada harga yang rendah berkata, berbanding kebanyakan produk lain dengan harga yang lebih tinggi, produknya dijual pada harga yang berpatutan sekiranya dibandingkan dengan keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.
“Saya melihat kepada sasaran pengguna berulang dan dalam golongan B40 dan M40.
“Saya kembali kepada niat asal iaitu ingin menyelesaikan masalah ‘Adibah lalui pada usia 15 tahun dulu, yang ada jerawat tapi tiada duit’.
“Sebab itu kena pastikan harga kita mampu milik supaya mudah untuk mereka beli,” katanya.
Adibah yang berperwatakan tegas menjelaskan penglibatannya dalam perniagaan, dipegang bersama prinsip ‘sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat’.
Katanya, perniagaan tersebut turut dianggap sebagai pelaburan saham bagi persediaan untuk alam selepas kematian.
“Ia bukan semata-mata untuk duniawi kerana saya percaya manfaat dan ilmu yang saya berikan dapat berterusan selepas ketiadaan saya di dunia,” katanya.
Menerusi hasrat menukar persepsi orang ramai terhadap produk tempatan, Adibah sanggup memberi memperuntukkan lebih tinggi dalam bidang teknologi bagi menambah baik produk keluarannya.
“Perbelanjaan yang memakan kos puluhan ribu itu adalah bagi meningkatkan kualiti selain memberikan kelainan kepada produk.
“Kita bayar untuk gunakan teknologi uni-fine bagi keluaran pelindung matahari yang tidak meninggalkan kesan putih ketika pemakaian.
“Orang boleh tiru, tapi tidak pada teknologi yang saya bayar itu,” katanya yang turut mengajak orang ramai menyokong produk jenama tempatan sebagai usaha menambah baik pulih ekonomi negara.
JADI REALISTIK
Berdasarkan kajian, remaja di Malaysia memperuntukkan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk melayari internet.
Ini menunjukkan pendedahan golongan itu terhadap kandungan terutama di media sosial adalah tinggi sehingga menyebabkan mereka mudah dipengaruhi.
Berkongsi pandangan, Adibah berkata, perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah didik diri sendiri dengan maklumat tepat a selain jadi pengguna lebih peka.
“Remaja dan orang ramai perlu didik diri dengan kandungan yang berunsurkan pendidikan supaya kita tidak terpedaya dengan iklan dan maklumat tidak tepat,” katanya.










