Petronas Chemicals buat pengambilan bersejarah, ambil alih Perstorp

Petronas Chemicals ambil alih Perstorp pada nilai RM10.5 bilion

MOHD. Yusri Mohamed Yusof (duduk kiri) dan Jan Secher (berdiri, tengah) pada majlis pengambilalihan Perstorp.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Sekuriti bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp Holding AB, sebuah syarikat bahan kimia khusus global yang didorong oleh kelestarian, dengan harga EUR1,538.0 juta, (RM7.018 bilion.)

Perjanjian tersebut ditandatangani pada 14 Mei lalu dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners, firma ekuiti swasta Eropah.

Menurut PCG, pengambilalihan tersebut menilaikan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak EUR2,300.0 juta (RM10.496 bilion).

Jelasnya, perjalanan PCG bagi mencapai visinya untuk menjadi syarikat kimia pilihan yang menyediakan penyelesaian pelanggan yang inovatif adalah berdasarkan strategi yang jelas; untuk mengukuhkan portfolio petrokimia asasnya, dan untuk mempelbagaikan secara terpilih ke dalam derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian.

“Dalam pelaksanaan strategi ini, pengambilalihan ini menandakan penciptaan portfolio bahan kimia khusus yang penting, sambil meningkatkan pendapatan keseluruhan PCG.

“Ini berikutan pengambilalihan BRB Group pada tahun 2019, pengeluar bebas global terkemuka dan formulator silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia, yang membawa PCG memasuki bidang baharu, sejajar dengan cita-cita pertumbuhan jangka panjangnya,” katanya dalam kenyataan.

Ibu pejabat Perstorp di Malmö, Sweden.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, pengambilalihan bersejarah itu merupakan peristiwa penting bagi PCG dalam mewujudkan platform utama untuk mempelbagaikan industri kimia khusus dan merebut peluang pertumbuhan baharu, selain membolehkan kami mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat dalam menghadapi turun naik pasaran dan dinamik perubahan industri.

“Perstorp sesuai secara strategik bagi PCG dan membolehkan kami untuk bersaing dalam pasaran akhir yang menarik seperti cat & salutan, pembinaan, automotif, penjagaan diri dan pemakanan haiwan yang mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh.

“Pengambilalihan ini juga akan memberi kami bakat kritikal, pengetahuan, platform teknologi dan saluran pelanggan yang terbukti untuk menangani keperluan pasaran dalam penyelesaian yang lebih mampan,” katanya.

Ditubuhkan lebih daripada 140 tahun yang lalu, Perstorp adalah pemain dalam industri bahan kimia khusus yang membangunkan penyelesaian lestari dengan memberi tumpuan kepada pasaran resin & salutan, cecair tereka bentuk dan pemakanan haiwan.

Dengan tujuh tapak pembuatan canggih dan tiga pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di seluruh dunia, Perstorp mempunyai kehadiran di 26 negara termasuk AS, Eropah dan Asia Pasifik.

Ia mempunyai kira-kira 1,500 tenaga kerja dan lebih daripada 2,600 pelanggan di seluruh dunia dengan 130 tawaran produknya dalam 30 kumpulan produk. Ia mempunyai kedudukan global #1 dalam beberapa produk seperti Trimethylolpropane (TMP) dan Pentaerythritol (Penta).

Perstorp dikenali dalam kalangan pelanggannya kerana kualiti dan penyesuaian produknya, kebolehpercayaan bekalan, menjaga kepentingan pelanggan dan produk lestari serta diiktiraf kerana kilang oxo dan poliol proprietarinya.

Pada tahun kewangan 2021 (FY2021), Perstorp merekodkan hasil sebanyak kira-kira EUR1,334 juta (RM6.540 bilion) dan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) EUR248 juta (RM1.214 bilion) dengan margin EBITDA sebanyak 18.6 peratus.

Mohd Yusri menambah, Perstorp menarik dengan rangkaian produk mereka yang luas, asas pelanggan yang mantap serta kepimpinan pasaran mereka dalam bahan kimia terpilih, yang merupakan pelengkap kepada PCG.

“Perstorp akan menambah sehingga 2.3 mtpa kepada kapasiti pengeluaran PCG dan menyumbang kira-kira 28 peratus pendapatan tambahan kepada PCG berdasarkan keputusan 2021 serta menyokong matlamat jangka sederhana PCG dalam mewujudkan 30 peratus pendapatan yang dijana daripada perniagaan bukan tradisional menjelang 2030. Kami teruja untuk mengalu-alukan Perstorp dan pasukannya yang luar biasa ke dalam keluarga PCG,” katanya.

Semenatra itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Petronas.

“Saya melihat persamaan yang kuat dalam nilai dan keutamaan dalam usaha kedua-duanya untuk memajukan perniagaan masing-masing memenuhi cabaran dan peluang di masa depan.

“Dengan memanfaatkan jenama global Petronas yang kukuh dan kekuatan PCG sebagai peneraju industri dan pasaran yang bereputasi di rantau Asia Pasifik, kami yakin Perstorp dapat terus berkembang ke fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×