Pertandingan DIY Made Simple kembali - Utusan Malaysia

Pertandingan DIY Made Simple kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MR. D.I.Y Group (M) Berhad dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares), akan melancarkan edisi ke-6 pertandingan tahunan terkenalnya iaitu ‘DIY Made Simple’.

Pertandingan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan untuk menggalakkan para pelajar memahami dan menghargai impak positif budaya ‘buat sendiri’ ke atas negara dan komuniti-komunitinya.

Pertandingan itu juga menyediakan platform kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan meneroka pelbagai tema DIY yang berbeza.

Tema tahun ini, ‘Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah’ menyeru para pelajar untuk mencari jalan mempertingkatkan kemudahan-kemudahan di sekolah mereka sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan memulakan projek-projek DIY menggunakan bahan-bahan yang dikitar semula.

Pengerusi Kumpulan MR. D.I.Y, Datuk Azlam Shah Alias berkata, ‘DIY Made Simple’ bukan sekadar satu pertandingan.

“Ia menggalakkan perkongsian idea tentang cara-cara untuk mempraktikkan lebih banyak amalan mesra alam, menggalakkan budaya menaik taraf dan mengguna semula, dan seterusnya melahirkan komuniti-komuniti yang mampan, diperkasa, dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan.

“Ia merupakan salah satu cara MR D.I.Y. menambah nilai kepada komuniti-komuniti di mana kami beroperasi, dan ianya selari dengan matlamat-matlamat kemampanan kami.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMCares kerana sekali lagi bekerjasama dengan kami dalam usaha ini, dan kepada Kementerian Pendidikan kerana menyokong program ini.

“Sokongan mereka telah membolehkan kami meningkatkan kemahiran 865 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara sejak pertandingan ini dilancarkan pada tahun 2017, dan ia semakin besar dan menarik dari tahun ke tahun.

“Memandangkan Malaysia kini telah memasuki fasa endemik dan sekolah-sekolah telah dibuka semula, kami teruja untuk menyaksikan idea-idea kreatif dan unik untuk mengubah sisa buangan menjadi sesuatu yang berguna dan mampan untuk dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah,” katanya.

Penyertaan untuk edisi pertandingan ‘DIY Made Simple’ tahun 2022 kini sedang dibuka. Para pelajar yang berminat untuk mengambil bahagian boleh menghantar penyertaan video mereka sehingga 20 Mei 2022.

Satu panel pengadil yang terdiri daripada wakil-wakil dari Universiti Malaya (UM), MR D.I.Y., dan KPM akan menilai kesemua penyertaan dan menyenarai pendek 98 pasukan (tujuh sekolah dari setiap negeri) untuk pembentangan cadangan dan prototaip dari 31 Mei hingga 21 Julai 2022.

Seramai 18 finalis akan dipilih untuk bekerjasama dengan para pensyarah dari Fakulti Bina Alam UM untuk mentransformasi idea-idea sekolah mereka menjadi realiti semasa pusingan Akhir. 

Fasa terakhir itu akan dijalankan dari 22 Julai hingga 25 September 2022, dan para pemenang akan diumumkan pada Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN