LONDON: Chelsea semakin ghairah untuk memantapkan pasukan pada musim depan selepas dilaporkan berminat untuk mendapatkan bintang RB Leipzig, Xavi Simons.
Bintang Belanda itu terbuka untuk menyertai Chelsea pada musim panas ini dan difahamkan, wakil The Blues sudah mengadakan perbincangan awal bersama ejennya.
Antara alasan utama Simons mahu meninggalkan kelab Bundesliga itu ialah kerana mereka gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Beliau menyertai RB Leipzig secara tetap musim panas lalu, dengan nilai perpindahan awal sebanyak 43 juta pound (RM257.5 juta) serta tambahan 26 juta pound (RM155.8 juta).
Selain pernah beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan di PSV Eindhoven, pemain berusia 22 tahun itu juga adalah merupakan produk akademi Barcelona.
Chelsea sebelum ini sudah memperkuatkan jentera serangan dalam jendela perpindahan kali ini dengan kehadiran dua penyerang iaitu Joao Pedro dan Liam Delap.
The Blues turut merekrut Jamie Gittens dari Borussia Dortmund selain bakat muda sensasi dari Brazil, Estevao, akan tiba dari Palmeiras dengan nilai 29 juta pound (RM173.6 juta).
Bagaimanapun, perpindahan Simons ke Stamford Bridge dijangka bergantung kepada penjualan pemain sedia ada dengan Maresca menyenaraikan beberapa nama untuk dijual.
Chelsea sudah menjual Noni Madueke kepada Arsenal, selain Christopher Nkunku mungkin meninggalkan kelab pada musim panas ini biarpun masih mempunyai kontrak empat tahun.
Sementara itu, Nicolas Jackson juga dikaitkan dengan perpindahan keluar selepas semakin tenggelam dalam senarai utama pasukan yang menjuarai Piala Dunia Kelab baru-baru ini. – AGENSI/UTUSAN










