Yamaha 135LC Fi, motosikal untuk dunia praktikal

Yamaha 135LC Fi – Motor untuk dunia praktikal

Penampilan garang tetap ada. – UTUSAN/ANUAR NORICK SABARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama model motor ini, para pencinta dua roda tempatan memang tahu akan kewujudannya. Malah, sebelum nama “Y-suku” meniti di bibir anak-anak muda, nama 135LC menjadi kayu ukuran bagi sebuah motosikal “kapcai”. Dari versi pertama (V1) sehinggalah kepada versi terkini yang baru-baru ini dilancarkan di Litar Antarabangsa Sepang, 135LC adalah direka sebagai sebuah ‘kuda tunggangan’ untuk dunia praktikal.

PENAMPILAN
Bagi sesetengah orang, kapcai adalah kapcai. Sebuah motor moped yang dijual dan direka untuk melengkapkan perjalanan dari destinasi A ke destinasi B. Namun begitu, versi-versi LC ini hanya sama pada kapasiti enjinnya sahaja. Pelbagai penambahbaikkan telah dilakukan pada setiap versi, dan untuk versi yang terbaharu ini, ia pertama kali didatangkan dengan versi suntikan bahan api, berbanding versi-versi sebelumnya yang menggunakan sistem karburator.

Seolah-olah Hong Leong Yamaha memberi penghormatan terhadap barisan jentera-jentera kapcai mereka yang telah berada di pasaran sebelum ini, 135LC Fi dilihat mewarisi rupa bentuk jentera-jentera ikonik Yamaha. Sebagai contoh, roda sukan (sport rims) yang digunakan mirip roda Yamaha 125Z, fairing mirip 135LC V2 (versi paling popular), serta meter dan lampu hadapan mirip Y15zr.

Menyedari 135LC ini mempunyai legasi yang besar, versi terbaru LC ini didatangkan dengan dua variasi, iaitu versi biasa dan edisi khas. Perbezaan ketara antara dua versi ini ialah dari segi kosmetik sahaja yang mana warna kelabu gelap matte (matte dark grey) serta versi khas ini didatangkan dengan bakul yang mempunyai ruangan khas untuk menyimpan telefon bimbit anda lengkap dengan tempat mengecas bateri, menjadi taruhan HLY untuk menarik peminat mengeluarkan lebih RM1,000 daripada versi biasa. Dikhabarkan, bakul khas rekaan terkini ini akan boleh diperolehi sebagai aksesori dan boleh dipasang di mana-mana jentera Yamaha.

Seolah-olah meneruskan tradisi 135LC, reka bentuk keseluruhannya menampilkan imej ‘laju’ dan sporty. Tetap mempunyai garisan-garisan ‘tajam’ yang mampu membelah angin ketika pemanduan. Lampu hadapan LED sangat-sangat menerangi jalan raya sekiranya penunggangan harus dibuat pada waktu malam, meter digital penuh LCD yang mirip jentera Y15 dan Y16, memberikan informasi yang secukupnya serta terang sama ada di waktu tengah hari yang terik, apatah lagi pada waktu malam.

PENUNGGANGAN
Satu fakta ketara, 135LC Fi ini, tiada klac. Satu-satunya fakta yang boleh membuat bakal pembelinya berbelah-bahagi dalam membuat keputusan. Secara jujurnya, saya lebih menggemari motosikal yang mempunyai klac, bagi membolehkan pergerakkan transmisi lebih efisien dan lancar. Terutama ketika turun gear ke gear yang lebih rendah. Tanpa sistem klac, enjin akan menyentap apabila memasuki gear yang rendah dan sedikit sebanyak mengganggu kestabilan penunggangan. Tapi kata orang, “alah bisa, tegal biasa”. Lama kelamaan faktor ini tidak lagi menjadi ‘gangguan’. Bagi mereka yang mahu menggunakan motosikal yang mempunyai sistem pengendalian ringkas, kos penyelenggaraan yang agak murah, serta mudah, mungkin variasi tanpa klac ini (atau dipanggil klac otomatik), sesuai untuk individu-individu yang bertugas sebagai penghantar (delivery). Selain transmisinya mudah dikendalikan, kebolehan sebelah tangan penunggangnya yang bebas dan tidak perlu menggalas tanggungjawab perubahan transmisi, menjadi pilihan. Faktor ini membolehkan mereka melihat dan menyelaraskan peta/penunjuk arah daripada aplikasi telefon mudah alih mereka ketika membuat penghantaran.

Tidak seperti Y15 atau Y16, roda belakang 135LC ini tidak sebesar model-model tersebut. Ia juga satu daripada faktor yang disukai oleh kebanyakan peminat tegar LC. Selain tampak menarik di mata mereka, saiz roda 80/90-17 agak mempunyai luas ruang permukaan yang mencecah jalan raya yang cukup untuk kegunaan biasa.

Sistem brek yang dibekalkan, sangat-sangat menepati keperluan penunggangan urban, terutama melalui jalan raya-jalan raya dalam bandar, yang penuh dengan lampu isyarat dan simpang-simpang, juga mempunyai respons yang baik ketika keperluan melakukan pemberhentian secara mengejut akibat berlakunya sesuatu halangan dalam kesibukan metropolitan. Sistem brek cakera depan dan belakang dipasang kepada kesemua variasi 135LC Fi ini.

Faktor utama kedua tentang model ini ialah sistem suntikan bahan apinya. Variasi-variasi LC sebelum ini adalah daripada sistem karburator, yang terbukti berfungsi dan bertindak dengan baik, di samping mempunyai ‘ruang-ruang’ untuk penambahbaikkan dari segi prestasi. Kali ini, Hong Leong Yamaha membekalkan teknologi baharu untuk LC iaitu dengan sistem suntikan bahan api yang mana menjanjikan peningkatan kuasa secara “linear” atau pun tersusun mendatar naik secara lembut. Walaupun tanpa kehadiran sistem klac manual, peralihan kuasa daripada gear rendah ke gear lebih tinggi adalah baik tanpa gangguan. Begitu juga ketika penurunan gear tinggi ke gear rendah, walaupun terdapat sedikit henjutan (faktor biasa bagi mana-mana motosikal dengan klac automatik), namun ia diimbangi dengan baik. Begitupun, jangan salah anggap apabila menjangkakan 135LC Fi ini adalah variasi yang paling lemah prestasi enjinnya. Bagi mereka yang mengetahui tentang teknologi ‘fuel injection’ masa kini, penggunaan ECU yang menggantikan CDI, sebagai jantung utama jentera-jentera FI, membolehkan pelarasan prestasi dengan hanya menggunakan komputer sahaja. Begitulah kewujudan teknologi masa kini.

Meter seperti Ysuku.

KESIMPULAN
Kapcai adalah kapcai. Ia tidak direka untuk kegunaan praktikal harian dan bukan untuk menjejaki kelajuan bunyi. Begitupun, 135LC Fi seolah-olah sebuah `kain putih’ yang siap sedia untuk dicetak dengan pelbagai corak dan warna. Terpulang kepada individu-individu yang kreatif untuk meningkatkan kebolehan asal jentera ini.

Dari segi praktikalnya pula, saya amat yakin, model ini akan disukai dan digunakan oleh individu-individu yang terlibat dalam industri penghantaran, sama ada makanan atau barangan. Ini kerana, ciri-ciri yang terdapat pada model ini. Penggunaan suntikan bahan api menjanjikan penjimatan penggunaan petrol, serta model ini dibekalkan dengan kapasiti tangki minyak yang besar (4.6 liter). Sistem tanpa klacnya juga saya lihat bakal menjadi pilihan untuk memudahkan pengendalian sistem penunjuk arah aplikasi telefon bimbit. Bakul yang mempunyai ruang menyimpan telefon serta kebolehan mengecas atas motosikal juga antara penyumbang faktor untuk menarik pembelian terhadapnya.
Yamaha 135LC Fi ternyata, sebuah motosikal untuk kegunaan urban, metropolitan dan praktikal. Harga pasaran sebelum cukai jalan, pendaftaran dan insurans sebanyak RM7,798.00 untuk versi standard dan RM8,198.00 untuk Edisi Khas dilihat sebagai ‘mampu milik’ untuk setiap lapisan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.