BNM naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus

OPR naik 25 mata beri tekanan kepada pengguna, perniagaan

Kenaikan OPR akan meningkatkan kembali beban kewangan rakyat Malaysia dan sektor perniagaan yang baru pulih daripada krisis pandemik Covid-19. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus bakal meningkatkan semua pembayaran pinjaman berlandaskan apungan di institusi kewangan di Malaysia.

Justeru, ia akan memberi tekanan kepada pengguna dan perniagaan yang mempunyai pinjaman di bank pada kadar yang diapungkan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan OPR oleh BNM mungkin berdasarkan dua faktor utama iaitu tekanan berterusan ke atas mata wang ringgit berbanding dolar dan kenaikan kadar inflasi negara yang makin meningkat daripada jangkaan awal antara dua ke tiga peratus sahaja tahun ini.

Ujarnya, ia juga memberikan kekuatan untuk mengekalkan aktiviti di pasaran kewangan yang menarik kepada pengurus-pengurus dana terutamanya dari luar negara.

“Ia akan mengurangkan aliran tunai keluar daripada pasaran modal Malaysia iaitu kedua-dua pasaran ekuiti dan hutang, sekali gus menguatkan nilai ringgit daripada terus melemah.

“Keadaan ini juga akan akan mengurangkan insentif kepada sektor perniagaan dan pengguna untuk membuat pinjaman baharu sama ada pinjaman rumah, kenderaan, peribadi dan pinjaman modal kerana kenaikan kadar faedah secara across the board,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, MPC BNM menaikkan OPR yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, pembukaan semula ekonomi global berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Katanya, tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat (AS).

“Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi,” katanya.

Bagaimanapun menurut Aimi Zulhazmi, kenaikan kadar OPR menyebabkan kadar deposit kembali meningkat, seterusnya menarik pengguna dan perniagaan untuk menyimpan lebihan tunai mereka di bank daripada terus berbelanja yang memberi kesan kepada kadar inflasi tinggi.

“Pengurangan kadar inflasi dijangka berjaya dengan menaikkan kadar faedah bagi mengurangkan lebihan tunai di dalam pasaran yang telah dikatakan penyebab utama berlakunya kadar inflasi yang tinggi.

“Kesimpulannya, BNM berpendapat ekonomi negara sudah menunjukkan tanda-tanda positif dengan pembukaan sempadan antarabangsa dan ekonomi domestik yang semakin memulih. Namun, situasi ekonomi global masih belum menentu,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kemungkinan BNM memutuskan untuk meningkatkan OPR bagi memastikan terdapat peningkatan beransur-ansur dalam tempoh dua bulan kepada kadar sasaran 2.25 peratus menjelang Julai.

Ujarnya, ini adalah langkah sama yang dilaksanakan pada tahun 2010 apabila peningkatan 25 mata asas dibuat setiap dua bulan.

“Nampaknya BNM menjangkakan tekanan inflasi yang lebih tinggi untuk beberapa bulan akan datang dan peningkatan beransur-ansur sebanyak 25 mata asas dalam tempoh dua bulan dan bukannya 50 mata asas pada bulan Julai diharapkan dapat membantu individu dan peniaga yang mempunyai komitmen kewangan pada masa ini akan mula merancang dan menstrukturkan komitmen kewangan masing-masing.

“Apa yang pasti, kos pembiayaan akan meningkat selepas ini dan boleh menyebabkan tekanan ke atas harga barang dengan lebih tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN