Northport rangkul anugerah IAPH 2022 Sustainability Award - Utusan Malaysia

Northport rangkul anugerah IAPH 2022 Sustainability Award

Datuk Azman Shah (kanan) menerima Anugerah Kelestarian IAPH 2022 dalam majlis IAPH 2022 di Vancouver, Kanada, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Berhad, ahli Kumpulan MMC, telah memenangi anugerah IAPH 2022 Sustainability Award di bawah kategori Keselamatan, Kesihatan dan Sekuriti.

Dengan projek bertajuk Perjalanan Ke Arah Kecemerlangan HSE Northport telah menewaskan dua finalis lain, iaitu Pelabuhan Montreal dan Pelabuhan Amsterdam dalam kategori tersebut.

Pengumuman pemenang anugerah telah dibuat semasa Majlis Makan Malam Gala yang diadakan bersempena dengan Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 pada 17 Mei 2022 di Vancouver, Kanada.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof telah menerima anugerah bagi pihak syarikat daripada Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Mark Assaf.

IAPH atau International Association of Ports and Harbors adalah sebuah gabungan global dengan ahli yang terdiri daripada pihak berkuasa pelabuhan, pengendali pelabuhan serta perniagaan berkaitan pelabuhan dari 87 buah negara.

Pelabuhan di bawah IAPH mengendalikan kira-kira satu pertiga daripada dagangan perairan dunia dan lebih daripada 60 peratus trafik kontena dunia.

Azman berkata, pengiktirafan daripada institusi global yang disegani seperti IAPH, dan menjadi pelabuhan Malaysia pertama memenangi anugerah IAPH Sustainability Award yang berprestij itu adalah satu penghormatan dan pencapaian yang cemerlang buat Northport.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada IAPH, panel-panel pakar dan orang awam yang telah mengundi kami kerana mengiktiraf Perjalanan Northport Ke Arah Kecemerlangan HSE.

“Sepanjang usaha ini, kami telah menjalankan pelbagai inisiatif HSE termasuk penubuhan Pelan Kesinambungan Perniagaan bagi memastikan langkah-langkah yang berkesan disediakan demi kesinambungan operasi dan perniagaan Northport.

“Kami juga telah mengukuhkan keselamatan pelabuhan kami dengan penggunaan dron dan sistem pengawasan litar tertutup. Northport adalah pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan dron untuk tujuan keselamatan dan pengawasan sejak 2019,” katanya dalam kenyataan.

Pada tahun ini, sebanyak 53 projek telah dihantar oleh 36 buah pelabuhan dari 26 buah negara untuk menyertai pertandingan IAPH Sustainability Awards.

Kesemua projek ini telah dinilai dengan teliti dan diberi pemarkahan oleh para juri yang terdiri daripada sembilan orang pakar bebas dari seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang termasuk akademik, pertubuhan bukan kerajaan, institut penyelidikan, media, perkapalan dan mantan pengurusan eksekutif pelabuhan.

Pemenang telah ditentukan melalui pemarkahan 70 peratus dari panel pakar, manakala 30 peratus markah lagi adalah daripada pengundian awam yang dibuat melalui laman web World Ports Sustainability Program dari 21 Mac 2022 hingga 18 April 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.