Malaysia kekal pasaran menarik kepada syarikat antarabangsa - HSBC

Malaysia kekal pasaran menarik kepada syarikat antarabangsa

ANDREW SILL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat asing kekal yakin dengan rancangan mereka untuk meningkatkan perniagaan di Malaysia, demikian dapatan kajian perniagaan terkini yang dijalankan oleh syarikat perbankan antarabangsa, HSBC.

Menurut kajian itu, firma perniagaan khususnya dari China, India dan AS berhasrat mengembangkan operasi perniagaan atau memasuki pasaran negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jelasnya, ia susulan pemulihan ekonomi negara yang sedang bangkit daripada kesan pandemik global yang memasuki tahun ketiga.

Kajian terbaru bertajuk ‘HSBC Navigator: SEA in Focus’ itu melibatkan tinjauan terhadap lebih 1,500 syarikat daripada enam ekonomi terbesar dunia iaitu China, India, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis dan United Kingdom (UK), di mana sebanyak 32 peratus daripadanya mempunyai operasi di Malaysia.

Tinjauan itu mengukur sentimen mereka untuk melakukan perniagaan di rantau Asia Tenggara (SEA) dan setiap negara, dengan tumpuan khusus pada perdagangan, pendigitalan dan kemampanan.

Kajian itu juga mendapati, berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain, terdapat minat yang kuat dalam kalangan syarikat China terhadap pasaran Malaysia.

Antara sebab utama yang menarik minat syarikat asing melabur atau mengembangkan perniagaan mereka di negara ini ialah kemudahan rantaian bekalan sebanyak (30 peratus), ekonomi Malaysia yang terbukti berdaya tahan dalam tindak balas kepada pandemik (31 peratus) dan ekonomi digital yang semakin meningkat (31 peratus).

“Daripada enam pasaran yang termasuk dalam kajian itu, syarikat China hampir dua kali lebih atau 41 peratus mungkin merancang pengembangan operasi mereka di Malaysia, berbanding purata 22 peratus.

“Ini selaras dengan perdagangan semasa China dan Malaysia dengan China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 12 tahun berturut-turut. Selain itu, hampir 3 daripada 10 (29 peratus) syarikat India dan hampir 1 dalam 4 (24 peratus) syarikat AS mengutamakan pertumbuhan di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang,” jelas HSBC dalam kenyataan.

Kajian itu juga mendapati, Malaysia tarikan utama pelaburan asing dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan 2 daripada 10 syarikat (19 peratus) yang dikaji terutama dari India (25 peratus) dan China (22 peratus) merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini.

Walaupun pandemik, perdagangan dua hala antara India dan Malaysia telah berkembang sebanyak 26 peratus pada 2021 dan keseluruhan perdagangan berjumlah AS$17 bilion (RM…)

“Syarikat asing tertarik kepada Malaysia kerana prospek ekonominya yang optimis, dan peluang yang pasaran Malaysia sediakan untuk membangun dan menguji produk serta penyelesaian baharu.

“Malaysia boleh menjangkakan pertumbuhan kukuh dan berterusan daripada pelaburan syarikat-syarikat China dan AS. Sebanyak 42 peratus syarikat China amat tertarik dengan peluang untuk produk baharu di Malaysia, manakala 43 peratus syarikat AS yang beroperasi di Malaysia menyatakan, perdagangan yang lebih mudah diberikan oleh perjanjian perdagangan bebas sebagai ciri tarikan,” jelasnya.

Jelasnya, AS adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, manakala Malaysia adalah rakan dagangan ke-17 terbesar AS. Perdagangan dua hala Amerika Syarikat-Malaysia berjumlah AS$71.4 bilion pada 2021.

Mengulas dapatan kajian itu, Ketua Negara Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill berkata, Malaysia sentiasa sentiasa menjadi pasaran yang menarik kepada ekonomi terbesar dunia.

“Daya tahan ekonomi negara, rantaian bekalan yang cekap dan ekonomi digital yang berkembang pesat adalah tanda-tanda positif bahawa syarikat antarabangsa melihat peluang pertumbuhan,” katanya.

Tinjauan itu juga mendapati 9 daripada 10 (89 peratus) perniagaan asing yang telah bertapak SEA merancang untuk mengembangkan kehadiran mereka di rantau ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Sebanyak 3 daripada 5 (61 peratus) perniagaan asing yang ditinjau menjangka pertumbuhan organik mereka di Asia Tenggara, meningkat sebanyak 20 peratus atau lebih dalam tempoh 12 bulan akan datang,” jelas kajian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN