Ketupat Palas Zamamy terima tempahan lebih satu tan - Utusan Malaysia

Ketupat Palas Zamamy terima tempahan lebih satu tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIDILFITRI tahun ini memberi rezeki tambahan kepada pasangan suami isteri, Mohd. Nizam Mohd. Tahir,33, dan Emiza Zulkifli,33, apabila perniagaan ketupat palas yang diusahakan sejak lima tahun lalu mendapat tempahan yang cukup memberangsangkan sehingga mencecah satu tan metrik.

Sambutan Aidilfitri yang kembali boleh disambut seperti biasa selepas dua tahun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong kepada peningkatan mendadak ini.

Lazimnya, tempahan yang diterima mereka pada sambutan Aidilfitri sebelum-sebelum ini adalah sekitar 500 sehingga 600 kilogram sahaja.

Ekoran sambutan yang hebat itu, mereka terpaksa memberhentikan tempahan dua bulan lebih awal bagi menyiapkan pesanan sedia ada sebanyak satu tan metrik atau lebih 35,000 biji ketupat palas sempena Aidilfitri tahun ini.

Menggunakan jenama Ketupat Palas Zamamy, Emiza berkata, produk keluarannya mempunyai empat perisa iaitu pulut hitam, jagung, kacang dan lemak yang boleh disimpan lama dengan harga serendah RM20 sehingga RM28 bagi sekilogram yang mempunyai sekitar 30 ke 40 biji.

Katanya, setiap hari, dia yang dibantu suami dan seorang pekerja menyiapkan antara 30 kilogram atau lebih 800 biji ketupat palas yang dihasilkan dalam bentuk sejuk beku itu.

Ujarnya, selepas lima tahun menjalankan perniagaan tersebut, Ketupat Palas Zamamy semakin mendapat sambutan pelanggan dari seluruh negara.

“Malah, kami juga sudah mempunyai lima ejen bagi memenuhi pasaran di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

“Alhamdulilah, pesanan ketupat palas pada Aidilfitri tahun ini meningkat mendadak berbanding hari raya sebelum-sebelum ini. Berikutan peningkatan tempahan tersebut, kami terpaksa memberhentikan tempahan dua bulan lebih awal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pauh Indah, Arau, Perlis baru-baru ini.

Tambah Emiza, dalam menyiapkan tempahan tersebut, sebanyak 500 kilogram beras pulut serta 5,000 pucuk daun palas digunakan.

Katanya, ketupat daus palas berkenaan adalah resepi turun temurun dari ibu mentua yang turut menjalankan perniagaan ketupat tersebut.

“Sejak hampir lima tahun mengusahakan perniagaan ketupat palas ini, tempahan menjelang Aidilfitri tahun ini adalah paling banyak. Alhamdulilah permintaan ketupat palas ini sangat memberangsangkan.

“Apa lebih istimewa lagi jangka hayat ketupat palas berkenaan boleh bertahan sehingga setahun dengan disimpan di dalam peti sejuk beku dalam suhu negatif 18,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nizam berkata, sejak daripada zaman sekolah, dia membantu ibunya menjalankan perniagaan ketupat palas ini.

“Selepas itu, saya bersama isteri mencuba menjalankan perniagaan ini bermula secara kecil-kecilan. Mula-mula kami jual kepada kawan-kawan dan saudara mara terlebih dahulu dan semakin hari pasaran semakin meluas di seluruh negara.

“Selain hari raya, jualan kami pada bulan-bulan biasa juga mencecah sehingga 100 kilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya