MELBOURNE: Harga minyak meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh dua bulan pada Isnin ketika peniaga menunggu sama ada Kesatuan Eropah (EU) akan mencapai persetujuan pakej sekatan keenam ke atas minyak Russia pada mesyuarat berkenaan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 46 sen kepada AS$119.89 (RM524.21) setong pada 0111 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS melonjak 60 sen kepada AS$115.67 (RM505.76) setong, melanjutkan keuntungan kukuh daripada minggu lepas.
EU dijangka mengadakan perbincangan lewat Isnin mengenai pakej sekatan keenam terhadap Russia kerana pencerobohannya ke atas Ukraine, yang Moscow panggil sebagai “operasi khas” untuk melucutkan senjata jirannya.
“Saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang sukar untuk mengandaikan spekulator meletakkan kedudukan untuk melantun pasaran minyak selepas sidang kemuncak EU,” kata rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.
Sebarang larangan lanjut terhadap minyak Russia akan mengetatkan pasaran minyak mentah yang sudah tegang untuk bekalan di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk petrol, diesel dan bahan api jet menjelang musim puncak permintaan musim panas di Amerika Syarikat dan Eropah.
Kerajaan EU gagal bersetuju mengenai sekatan ke atas minyak Russia pada Ahad, tetapi akan meneruskan perbincangan mengenai perjanjian untuk mengharamkan penghantaran minyak Russia melalui laut sambil membenarkan penghantaran melalui saluran paip, menjelang sidang kemuncak berkenaan.
Jika dipersetujui, perjanjian akan membolehkan Hungary, Slovakia dan Czechia terus menerima minyak Russia melalui saluran paip Druzhba untuk beberapa lama sehingga bekalan alternatif boleh diatur.
Menggariskan kesesakan pasaran, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Russia (OPEC+) bersedia untuk menolak seruan Barat mempercepatkan penambahan pengeluaran minyak apabila mereka bertemu pada Khamis.
Mereka akan berpegang pada rancangan untuk menambah 432,000 tong sehari pada Julai, enam sumber OPEC+ memberitahu Reuters.
Pasaran minyak juga terancam selepas Iran pada Jumaat berkata, tentera lautnya telah merampas dua kapal tangki minyak Greece sebagai tindakan balas terhadap rampasan minyak Iran oleh Amerika Syarikat daripada sebuah kapal tangki yang ditahan di luar pantai Greece.
“Ini menimbulkan gangguan selanjutnya terhadap aliran minyak melalui Selat Hormuz, yang membawa satu pertiga daripada perdagangan dunia,” kata penganalisis ANZ Research dalam satu nota.
Harga minyak juga disokong oleh kejatuhan dalam dolar AS apabila pelabur mengurangkan jangkaan untuk kenaikan kadar AS yang agresif dan kebimbangan mereda tentang kemelesetan global.
Dolar yang lebih lemah menjadikan minyak lebih murah untuk pengimport yang memegang mata wang lain. – AGENSI










