Penubuhan Jawatankuasa Dakwaan Buruh Paksa oleh CBP adalah wajar

CBP tubuh jawatankuasa dakwaan buruh paksa

Meskipun pelbagai penjelasan diberikan oleh kerajaan, industri sawit negara terus dikaitkan dengan dakwaan penggunaan buruh paksa oleh pihak berkepentingan di Barat. – GAMBAR HIASaN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Jawatankuasa Dakwaan Buruh Paksa oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) adalah wajar untuk menyelesaikan isu berkaitan komoditi negara khususnya minyak sawit dan getah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengalu-alukan keputusan CBP itu berkata, pihaknya akan melakukan susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa AS demi mencari penyelesaian segera berhubung perkara berkenaan semasa lawatan kerjanya ke negara berkenaan bermula 11 Mei lalu.

Malah katanya, beliau juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan berkepentingan lain, tidak di­sahkan oleh pihak berkuasa AS. Namun tindakan ke atas produk Malaysia seperti minyak sawit dan produk minyak sawit te­lah diambil dan ini merupakan langkah yang kurang adil kepada industri komoditi negara kita,” katanya dalam kenyataan dari Washington.

Zuraida turut meramkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan kerana mendapat komitmen daripada CBP untuk penubuhan jawatankuasa kerja itu semasa lawatan beliau ke AS.

ZURAIDA KAMARUDDIN

Menurut Zuraida, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk menghapuskan kegiatan itu melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour).

Malaysia juga katanya, te­lah meratifikasi Konvensyen No.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen No.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen No.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum).

Konvensyen-konvensyen itu jelasnya, menyediakan panduan dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan de­ngan perlindungan hak pekerja asing.

“Pada masa ini, Malaysia juga telah terlibat dalam Projek BRIDGE dengan ILO, bertujuan menyokong usaha dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkah-angkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan),” tambah beliau.

Zuraida menambah, Malaysia juga telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia pada 2018. Dapatan kajian ini telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan diterbitkan sebagai dokumen awam.

Selain itu, pada 19 November 2021, Malaysia juga telah bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah SDG Alliance 8.7 sebagai sebahagian usaha berterusan usaha kerajaan membasmi buruh paksa di Malaysia.

“Kerajaan melalui Kementerian akan terus memastikan industri komoditi negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 akan terus dilindungi dari propaganda mengelirukan dari pelbagai pihak.

“Saya juga ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama KPPK dalam usaha menentang kempen anti-sawit dan terus mempromosi kebaikan minyak sawit Malaysia yang penuh kebaikan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×