ISU siapkan projek ikut jadual masalah utama dalam industri pembinaan

[BUAL BICARA] Cabaran permohonan lanjutan masa projek binaan dalam era endemik

Kontraktor boleh dikenakan penalti atau denda yang tinggi seperti diperuntukkan dalam kontrak jika gagal menyiapkan projek mengikut jadual. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU penyiapan projek pembinaan dalam tempoh ditetapkan merupakan masalah utama dalam industri pembinaan. Di mana ia bukan sahaja berlaku di Malaysia malah fenomena ini turut menjadi masalah global dalam industri pembinaan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pemain industri dalam mengurangkan masalah ini dari terus merebak menjadi barah dalam pembangunan ekonomi negara, namun kesannya masih menjadi persoalan.

Antara usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak seperti Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), badan profesional, persatuan kontraktor, dan pusat pengajian tinggi termasuklah kursus dan latihan insentif, perkongsian dalam talian dan fizikal harus diberi pujian. Usaha ini amat diperlukan dalam meningkatkan tahap pemahaman berkaitan tanggungjawab dan peranan dalam kalangan ahli profesional yang terlibat dalam industri pembinaan.

Kelewatan projek pembinaan yang semakin kerap berlaku dalam projek pembinaan di negara ini telah memberi pelbagai impak negatif kepada pihak-pihak berkepentingan dalam projek. Mereka yang terdiri daripada pemilik (klien), perunding, kontraktor, pembekal, pembeli dan lain-lain terpaksa menanggung kerugian yang boleh mencecah jutaan ringgit. Jika ia terus berlaku, perkara ini amat berlawanan dengan objektif utama pihak terlibat dalam sesuatu projek pembinaan yang meletakkan masa, kos, kualiti dan keselamatan sebagai keutamaan projek.

Berdasarkan kepada kajian-kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar pengurusan pembinaan sama ada dalam mahupun luar negara, isu berkaitan tarikh penyiapan sesuatu projek secara praktikal semakin hangat didebatkan dalam kalangan ahli profesional mahupun masyarakat umum. Hal ini kerana, penyiapan projek yang tepat pada waktunya merupakan petunjuk penting bagi mengukur kejayaan sesuatu projek dan pengurusan pembinaan secara berkesan.

Oleh itu, tahap pemahaman yang tinggi terhadap permohonan pelanjutan masa sepertimana
diperuntukan dalam kontrak tidak boleh dipandang remeh oleh pemain projek pembinaan tidak kira ia berskala besar, sederhana mahupun kecil.

Walau bagaimanapun, situasi pada masa kini yang sukar diramal, penuh dengan ketidakpastian dan perubahan persekitaran yang sukar dikawal, isu kelewatan sukar dielakkan daripada terus berlaku. Masalah ini kian meruncing terutamanya dalam pelaksanaan projek pembinaan infrastruktur berskala besar. Kesannya, pihak kontraktor dikenakan penalti atau denda dan perlu membayar sejumlah ganti rugi yang ditentukan (Liquidated Ascertained Damages) kepada pihak klien sepertimana yang diperuntukkan dalam kontrak.

Lazimnya, bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku, pihak kontraktor akan berusaha membuat permohonan lanjutan masa (Extension of Time) kepada pihak klien. Permohonan lanjutan masa secara berkesan dilihat penting dalam memastikan pihak kontraktor terlepas daripada membayar ganti rugi yang tinggi. Peruntukan permohonan lanjutan masa dalam kontrak binaan biasanya akan mempengaruhi sejauh mana tanggungjawab kontraktor untuk membayar ganti rugi akibat daripada kelewatan dalam penyiapan kerja. Namun begitu, kebiasannya pasukan projek akan cuba berusaha secara kolektif dalam membuktikan hak atau menilai sesuatu permohonan lanjutan masa dengan sewajarnya.

Terdapat beberapa masalah yang menyumbang dalam kelulusan sesuatu permohonan lanjutan masa ini. Antaranya, penyerahan program kerja oleh kontraktor yang tidak terperinci dan tidak realistik. Bukan itu sahaja, malahan terdapat kelewatan berganda yang berpunca daripada kesalahan kontraktor juga turut menjadi punca permohonan tidak berjaya.

Sebagai klien dan pasukan perunding harus menilai sesuatu tuntutan berdasarkan kemajuan kerja sebenar, bukan hanya berdasarkan program kerja sahaja. Selain itu, justifikasi mestilah menunjukkan kaitan antara pelanggaran dan kelewatan. Hal ini menuntut pentadbir kontrak yang biasanya terdiri daripada jurukur bahan perlu menyemak lanjutan masa setelah selesai dilaksanakan dan seterusnya perlu disesuaikan dengan tarikh siap yang baharu.

Berdasarkan kepada peruntukan kontrak JKR 203 melalui Klausa 43, terdapat beberapa alasan (ground) berkaitan kelewatan yang melayakkan permohonan lanjutan masa diluluskan oleh klien. Alasan-alasan ini boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu berpunca dari faktor majikan atau faktor neutral. Faktor majikan boleh disifatkan sebagai kelewatan tersebut berpunca daripada pihak majikan sendiri seperti terdapat perubahan kerja (Variation Order), kelewatan penyerahan tapak dan lain-lain. Manakala faktor neutral boleh ditafsirkan sebagai kelewatan tersebut disumbangkan oleh kedua-dua pihak yang bukan di bawah kawalan mereka berdua. Antara sebab tersebut adalah seperti Force Majeure, keburukan cuaca yang luar biasa, kelewatan bahan binaan yang tidak dapat dijangka oleh kontraktor.

Situasi yang tidak diduga yang menghalang seseorang daripada memenuhi kontrak melalui alasan Force Majeure dibenarkan bagi menggambarkan satu peristiwa yang berlaku yang di luar kawalan dan menghalang mereka daripada memenuhi obligasi kontrak. Hal ini boleh dikaitkan. Kejadian di luar jangkaan manusia adalah seperti gempa bumi, puting beliung dan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020. Berlakunya pandemik Covid-19 memanglah tidak dapat dijangka, dan ia telah didapati memberi kesan yang amat mendalam hingga memaksa sektor pembinaan di Malaysia terpaksa dihentikan sementara waktu dan disambung semula selepas tahap jangkitan kian reda dengan pelaksanaan SOP yang amat ketat ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Oleh demikian, perkara ini amat memberi kesan kepada kemajuan kerja di tapak binaan dan perlu penambahan masa untuk tujuan penyiapan.

Bagi keburukan cuaca yang dimaksudkan adalah keburukan cuaca luar biasa yang berlaku di luar jangkaan seperti banjir kilat yang melanda negara baru-baru ini. Dokumen sokongan yang diperlukan apabila berlakunya cuaca luar biasa ini adalah seperti diari harian tapak, laporan hujan daripada Unit Hidrologi JPS dan Jabatan Meteorologi. Analisa taburan hujan ini perlu dibuat pada sekurang-kurangnya untuk 10 tahun terakhir bagi membuktikan memang terdapat keadaan cuaca luar biasa di lokasi tersebut.

Selanjutnya, alasan ketiga di bawah faktor neutral iaitu berkenaan kelewatan bahan binaan yang tidak dijangka oleh kontraktor. Sekiranya kontraktor gagal mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan atas sebab-sebab yang di luar kawalan dan tidak dapat menjangka perkara ini semasa memasuki tawaran, maka lanjutan masa juga boleh dipertimbangkan. Perhatian harus diberi mengenai usaha yang telah dibuat oleh kontraktor.

Apa yang perlu diberi perhatian juga adalah berkaitan masalah yang timbul semasa penilaian lanjutan masa. Ia dapat dilihat melalui kelemahan dalam sesetengah borang kontrak yang mana ketiadaan petunjuk yang jelas mengenai prosedur menuntut dan menilai lanjutan masa. Ketiadaan dasar lanjutan masa yang dipersetujui untuk menuntut dan menilai prosedur di antara kontraktor dan arkitek mahupun pentadbir kontrak melalui kaedah analisis kelewatan sedia ada dilihat kurang bersesuaian dalam era endemik ini.

Selain itu, beberapa perkara seperti penyerahan tuntutan lanjutan masa yang tidak lengkap, penyerahan tuntutan lanjutan masa yang lewat, kegagalan mengumpulkan maklumat yang relevan merupakan punca permohonan lanjutan masa ditolak oleh klien. Dengan kata lain, kontraktor bijak dalam menjejaki dan mengurus rekod serta menyediakan data dan fakta yang sah mengenai kelewatan yang berlaku sebagai bukti punca projek dijalankan tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

PENULIS adalah:

Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
Penyelidik Utama,
Pusat Pembinaan Lestari dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sr Norazilan Mazahar, PQS, MRISM
Penolong Juruukur Bahan Kanan, Bahagian Kontrak Dan Ukur Bahan (BKUB),
Jabatan Pengurusan Pembangunan Dan Harta Benda (JPPHB),
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN