PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan dana khusus untuk memelihara kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim di Malaysia melalui platform pendanaan awamnya, Sadaqa House.
Dana baharu bertemakan “From Cradle to Graduation” itu bertujuan memberi manfaat kepada anak-anak yatim di seluruh negara, daripada peringkat bayi sehingga remaja.
Ia direka khusus bagi memastikan pendidikan anak-anak tersebut tidak tercicir dan membolehkan mereka melanjutkan pendidikan sehingga ke peringkat ijazah.
“Menerusi Misi 2040, Sadaqa House menyasarkan kutipan dana kekal RM1 billion menjelang 2040. Bank Islam berhasrat untuk menyalurkan RM3 juta setiap bulan kepada pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim di Malaysia melalui hasil pulangan
pelaburan dana kekal tersebut dalam instrumen kewangan bersesuaian,” jelas bank berkenaan dalam kenyataan.
Majlis pelancaran Dana Anak Yatim Sadaqa House di Kuala Lumpur hari ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Menurut Bank Islam, bagi memastikan manfaat terus disalurkan kepada anak-anak yatim yang layak, sebelum 2040, sebanyak 20 peratus daripada setiap sumbangan diterima akan disalurkan kepada inisiatif bersama rakan-rakan pelaksana, manakala 80 peratus dimasukkan terus dalam dana kekal berkenaan demi menjana hasil yang lestari.
Sebagai permulaan komitmen kepada usaha ini, jelasnya, Bank Islam turut menyalurkan RM761,000 untuk agenda-agenda yang dipersetujui bersama tiga rakan pelaksana Sadaqa House iaitu OrphanCare Foundation, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim
Malaysia (PEYATIM) dan Youth Empowerment Foundation (YEF).
Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, berdasarkan strategi perniagaan lima tahun Bank Islam, LEAP25, yang bermatlamat memperkasakan agenda Kewangan Sosial dan meletakkan Bank Islam sebagai bank
peneraju kewangan sosial di Malaysia; syarikat komited untuk menggerakkan usaha-usaha perkongsian rezeki dengan pelbagai golongan sasar bagi memastikan rangkuman kewangan yang menyeluruh.
“Justeru, dengan kerjasama rakan-rakan pelaksana yang dipilih, Dana Anak Yatim Sadaqa House ini memberi manfaat berkekalan kepada kebajikan dan pembangunan anak-anak yatim di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










