ASNB rai pelabur berhemah - Utusan Malaysia

ASNB rai pelabur berhemah

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin (tengah) bersama para pemenang utama Kempen Jom Auto Labur ASNB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) meraikan para pemenang utama Kempen Jom Auto Labur tahun lalu dengan hadiah keseluruhan bernilai RM150,000 kepada seramai 563 pemenang.

Menerusi kempen bermula 1 September hingga 21 Disember 2021 itu, pemenang tempat pertama, Mohd. Ridzuan Uzdik membawa pulang sebuah motosikal Y15ZR manakala dua pemenang tempat kedua, Ibtisam Azwani Mat Ya’acob dan Mohd. Khazami Bakri memenangi Apple iPhone 13 Pro 128GB.

Selain itu, lima pemenang tempat ketiga iaitu Syahril Izwan Alias, Nurul Hafiza Saida Mohd. Ramdzan, Rosnizam Ahmad, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Zara Zulaikha Safuddin membawa pulang Apple iPad Pro 128GB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pihaknya berpuas hati melihat kesungguhan para pelabur untuk terus melabur meskipun ramai yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19. 

“Kami amat menghargai keyakinan mereka terhadap ASNB. Sehingga April 2022, potongan bulanan Auto Labur berjumlah RM157.84 juta sejak diperkenalkan pada 2019. 

“Kempen Jom Auto Labur kali ketiga ini telah mencatatkan sebanyak 21,546 transaksi dengan potongan berjumlah RM4.29 juta,” katanya dalam kenyataan.

Di samping itu, ASNB turut mengumumkan seramai 55 pemenang hadiah saguhati iaitu unit-unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM500 setiap seorang, 300 pemenang bulanan (75 pemenang setiap bulan) yang memenangi unit-unit ASB bernilai RM200 setiap seorang dan 200 pemenang hadiah bonus (50 pemenang setiap bulan) berupa unit-unit ASB bernilai RM100 setiap seorang.

Sementara itu, pemenang hadiah utama, Mohd. Ridzuan berkata, kempen Auto Labur memudahkan urusan pelaburan ketika pandemik kerana menjimatkan masa dan boleh dilakukan tanpa perlu keluar rumah.

“Saya dan rakan-rakan di tempat kerja turut sama melabur dalam pelaburan yang ditawarkan oleh ASNB. Saya memilih ASNB kerana ianya telah terbukti selamat terutamanya dalam menawarkan pulangan yang baik,” ujarnya.

Seorang lagi pemenang di tempat ketiga, Wan Zawiah berkata, saluran Auto Labur amat berbaloi untuk digunakan bagi menyimpan untuk jangka masa panjang.

“Sudah tentu saya akan menggalakkan rakan-rakan saya untuk turut sama melabur tambahan mereka juga berpeluang menyertai kempen yang menawarkan hadiah menarik kepada para pelabur,” ujarnya.

Kemudahan Auto Labur di platform myASNB memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit oleh PayNet untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, akaun minor (Akaun Bijak/Remaja) dan pihak ketiga yang layak. 

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2019, Auto Labur membantu para pelabur melabur secara konsisten mengikut kemampuan kewangan masing-masing melalui potongan terus daripada akaun bank mereka tanpa sebarang caj.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, ASNB meneruskan Kempen Jom Auto Labur bagi tahun 2022 yang telah bermula pada 1 April lalu sehinga 30 Jun depan dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai lebih RM200,000.

Maklumat lanjut berkenaan Kempen Jom Auto Labur, boleh didapati di www.myasnb.com.my dan di laman sosial media rasmi ASNB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya