PETALING JAYA: Yew Lee Pacific Group Berhad, pengeluar berus industri serta perdagangan perkakasan perindustrian dan bahagian mesin, memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. (M&A Securities) untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Menurut Yew Lee, proses IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 133.1 juta saham dan tawaran jualan sebanyak 26.62 juta saham untuk pelabur terpilih.
Jelasnya, daripada terbitan awam, sebanyak 26.62 juta saham akan boleh diperoleh secara permohonan oleh orang awam Malaysia menerusi cabutan undi; 15.97 juta saham akan diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan layak (borang merah jambu); 23.96 juta saham untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 66.55 juta saham menerusi penempatan persendirian untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Di bawah perjanjian taja jamin tersebut, M&A Securities akan menaja jamin 42.59 juta saham daripada jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham untuk orang awam Malaysia dan menerusi borang merah jambu.
“M&A Securities juga akan menempatkan 90.51 juta terbitan saham kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI,” jelasnya dalam kenyataan.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong berkata, pihaknya gembira untuk bekerja dengan M&A Securities bagi IPO syarikat dan perjanjian taja jamin ini menandakan peringkat pertama laluan menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities.
“Penyenaraian ini akan membantu kami menjana modal yang diperlukan untuk pelan perluasan kami dan pada masa sama, meningkatkan keterampilan jenama kami di dalam industri berus industri,” katanya.
Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan pula berkata, syarikat mempunyai pengalaman dan kepakaran teguh di dalam pengeluaran berus industri dengan sejarah bermula sejak awal 1990an.
“Kami tidak ragu-ragu Yew Lee akan membangun lebih lagi dan berjaya menerusi penyenaraian ini. Kami doakan kesejahteraan syarikat ini ketika ia memasuki peringkat baharu di dalam pertumbuhannya,” kata beliau.
Yew Lee mengeluarkan berus industri untuk pelbagai industri, merangkumi pembuatan sarung tangan, perindustrian, elektrik dan elektronik, penyedia pembersihan industri dan komersial selain pengeluar kayu dan gelas.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020), Malaysia menyumbang 81.4 peratus daripada keseluruhan hasilnya, sementara Thailand sebanyak 6.7 peratus dan Vietnam (6.2 peratus). Mengikut industri, pengeluar sarung tangan menyumbang sebanyak 88 peratus kepada perolehan pada TK2020. – UTUSAN










