PETALING JAYA: Universiti UCSI memeterai perjanjian persefahaman dengan Alibaba Cloud, cabang teknologi digital dan kecerdasan Alibaba Group bagi memperkenalkan kurikulum perkomputeran awan (cloud computing) untuk pelajar dan staf di universiti tersebut.
Kerjasama itu menyasarkan untuk menyokong ekonomi digital negara dengan memperkasakan bakat digital dan profesional teknologi melalui pendidikan perkomputeran awan.
Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, dengan perjanjian tersebut, UCSI bakal mempersiapkan pelajar dan pensyarah untuk mendepani peralihan awan digital.
“Memandangkan UCSI telah melaksanakan IR 4.0 ke dalam semua kursus, maka penting untuk pelajar dan pensyarah sentiasa mengikuti trend industri dan bersedia dengan corak kerja pada masa depan.
“Hasilnya, kita sentiasa memperkukuhkan kerjasama dengan firma antarabangsa, institusi asing dan institusi penyelidikan. Saya yakin melalui kerjasama dengan Alibaba Cloud ini, kita akan dapat mempersiapkan pelajar dan pensyarah untuk peralihan awan digital,” katanya.
Siti Hamisah mewakili UCSI Education Sdn. Bhd. bertukar dokumen perjanjian dengan Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia, Kun Huang dengan disaksikan Pengarah Institut Sains Komputer dan Inovasi Digital (ICSDI) Universiti UCSI, Profesor Madya Dr. Keoy Kay Hooi; Ketua Pemasaran dan Perniagaan Dalam Talian Alibaba Cloud Intelligence Malaysia, Yilan Zhuang serta Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan Universiti UCSI (kampus Kuala Lumpur), Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof.
Sementara itu, Kun Huang berkata, pihaknya akan menyampaikan pengalaman sebenar kepada UCSI dalam membantu pelajar dan stafnya merebut peluang yang tersedia dalam era digital.
“Kami gembira Universiti UCSI menyertai kami untuk Program Pemerkasaan Akademik Awan Alibaba (AAEP). Alibaba Cloud penuh dedikasi menyediakan servis terbaik dalam kelas kepada pelanggan dan kami akan sampaikan pengalaman ini kepada UCSI untuk membantu pelajar dan staf supaya mereka mendapatkan sumber pembelajaran yang terbaik dalam industri bagi merebut peluang yang lebih baik dalam era digital.
“Kami berharap pada masa depan kami dapat bekerjasama dengan rakan kerjasama tempatan untuk memainkan peranan penting dalam mewujudkan sekumpulan bakat digital yang mampan sekaligus bakal menyumbang kepada industri pendigitalan negara,” ujarnya.
Universiti UCSI akan memasukkan kursus Akademi Awan Alibaba (Alibaba Cloud Academy) dalam program ICSDI seperti Sarjana Muda Sistem Informasi Perniagaan, Sarjana Muda Sains Komputer (Hons) Perkomputeran Mudah Alih dan Rangkaian, Sarjana Teknousahawanan dan Sarjana Komputer Sains.
Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama menganjurkan seminar, bengkel dan aktiviti latihan berkaitan perkomputeran awan, keselamatan serta pangkalan data. – UTUSAN










