Syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang menerima tawaran bersyarat.

Syarikat konsesi terima tawaran ALR

ALR
Kerajaan bersetuju untuk menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang bagi memastikan kadar tol tidak akan dinaikkan sehingga tempoh konsesi berakhir. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat syarikat pemegang konsesi lebuh raya Lembah Klang masing-masing telah menerima secara berasingan tawaran bersyarat untuk pengambilalihan oleh Amanah Lebuhraya Rakyat Bhd. (ALR) dan menghantar penerimaan bertulis mereka kepada ALR, kelmarin.

Gamuda Bhd. dalam pemfailan Bursa Malaysia berkata, setiap syarikat pemegang konsesi iaitu Kesas Holdings Bhd., Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd. (Sprint), Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd. (Litrak), dan Projek Smart Holdings Sdn. Bhd. (SMART) dijangka memulakan rundingan berasingan dengan ALR untuk memuktamadkan terma dan syarat perjanjian muktamad masing-masing untuk cadangan pelupusan.

Gamuda memiliki 70 peratus pegangan dalam Kesas, manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memegang baki 30 peratus pegangan.

Selain itu, Gamuda mempunyai 43.2 peratus dalam Litrak dan 50 peratus dalam SMART (usaha sama Gamuda 50:50 dengan MMC Corp Bhd).

Dalam Sprint, Gamuda memegang 30 peratus secara langsung, manakala Litrak mempunyai 50 peratus dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) memiliki 20 peratus pegangan. Ini memberikan Gamuda pegangan berkesan sebanyak 51.6 peratus dalam Sprint.

Selain kelulusan pemegang saham yang diperlukan bagi syarikat pemegangan konsesi masing-masing, Gamuda memaklumkan, pelaksanaan perjanjian muktamad akan tertakluk kepada penyempurnaan pelaksanaan usaha wajar dan kelulusan oleh pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan untuk setiap tawaran.

“Selain itu, ia tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian konsesi tambahan oleh setiap syarikat pemegang konsesi dan kerajaan berdasarkan terma dan syarat yang akan diluluskan oleh ALR, serta kelulusan pengecualian cukai pendapatan dan pengecualian duti setem daripada kerajaan untuk ALR dan setiap syarikat konsesi apabila selesai setiap tawaran.

“Lembaga Pengarah Gamuda akan membuat pengumuman terperinci yang sewajarnya berhubung dengan cadangan pelupusan termasuk penggunaan hasil bersih yang sepadan bagi pelupusan yang dicadangkan pada masa yang akan datang, selepas melalui proses wajar berkaitan dengan syarikat subsidiari, syarikat bersekutu dan syarikat usaha sama masing-masing,” tambah Gamuda.

Dalam pemfailan bursa berasingan, Litrak berkata, pihaknya berhasrat untuk mengagihkan hasil bersih yang sepadan daripada pelupusan yang dicadangkan kepada para pemegang sahamnya.

Pada 4 April, Gamuda mengumumkan telah menerima tawaran bersyarat daripada ALR, sebuah syarikat swasta yang sedang menjalankan penstrukturan semula konsesi lebuh raya bertol tertentu bagi pihak kerajaan untuk memperoleh semua sekuriti dalam empat syarikat pemegang konsesi .

Ini berlaku selepas kerajaan bersetuju untuk menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang bagi memastikan kadar tol tidak akan dinaikkan sehingga tempoh konsesi berakhir, seterusnya menjimatkan kos pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat konsesi.

ALR membuat tawaran berdasarkan nilai perusahaan syarikat pemegang konsesi setakat tarikh penilaian 31 Disember 2021 sebanyak RM1.24 bilion untuk Kesas, RM2.12 bilion untuk Litrak, RM1.81 bilion untuk Sprint dan RM313 juta untuk SMART, bagi jumlah nilai perusahaan keseluruhan RM5.48 bilion.

Tawaran itu sah sehingga 30 April 2022 dan ALR merancang untuk membiayainya sepenuhnya melalui sukuk.

Bahagian Gamuda dalam jangkaan nilai ekuiti bagi empat syarikat itu ialah RM2.33 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN