PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad telah berjaya menetapkan harga tawaran Sukuk Wakalah Kelestarian RM300 juta di bawah Program Sukuk Wakalah Kelestarian RM5 bilion dengan buku pesanan akhir RM2.9 bilion sekali gus memberikan nisbah 10 kali ganda.
Tawaran pada 4 April itu menerima permintaan menggalakkan daripada pelbagai pelabur terdiri daripada pelabur institusi, syarikat insurans dan takaful, syarikat pengurusan dana dan aset, institusi kewangan dan pelabur bernilai bersih tinggi.
Tawaran dwi-tranche iaitu RM200 juta tranche lima tahun dan RM100 juta tranche tujuh tahun memberikan harga Sekuriti Kerajaan Malaysia pada +95 mata asas atau hasil akhir masing-masing 4.36 peratus setahun dan 4.73 peratus setahun.
Maybank Investment Bank Bhd. ialah pengurus utama tunggal untuk transaksi ini serta penasihat utama tunggal, penyusun utama tunggal dan penasihat penstrukturan kelestarian tunggal untuk program tersebut.
Mengulas transaksi itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata tawaran itu menandakan terbitan Sukuk Kelestarian pertama MBSB dalam pasaran modal domestik yang menunjukkan komitmen kuat bank ke arah menyokong agenda dan inisiatif kelestarian kerajaan.
“Penghargaan turut diberikan kepada Program Tenaga Karbon Rendah ASEAN (LCEP) Kerajaan UK untuk sokongan ke arah pembangunan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian MBSB Bank.
“Program tersebut menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif di Asia Tenggara melalui peningkatan aliran kewangan hijau untuk rendah tenaga karbon dan kecekapan tenaga,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Datuk Fad’l Mohamed berkata, harga akhir dan permintaan yang kukuh jelas menggambarkan keyakinan pelabur terhadap MBSB Bank, serta pengesahan komitmen kelestariannya.
“Kekurangan penawaran kelestarian dalam pasaran terus membantu memacu permintaan,” ujarnya. – UTUSAN










