Siemens buka Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber di Malaysia

Siemens bina pusat operasi teknologi keselamatan siber

Sivasuriyamoorthy Sundara Raja (tiga kiri) dan Samuel Morillon (tiga kanan) melakukan gimik perasmian pecah tanah Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber Siemens Energy di Cyberjaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Buat julung kali, firma gergasi Jerman, Siemens Energy bakal membuka Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber di Malaysia yang akan siap menjelang akhir tahun ini.

Malahan, menurut Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifiknya, Samuel Morillon, premis itu juga yang pertama seumpamanya di rantau ini dengan nilai pelaburan dibawa lebih RM10 juta.

“Ia merupakan satu penanda aras besar dalam aspirasi keselamatan siber di Malaysia dan menjadikan negara ini berpotensi sebagai hab utama untuk keseluruhan Asia Pasifik,” katanya.

Keyakinan amat tinggi itu disuarakan beliau ketika berucap sebelum Majlis Pecah Tanah Pusat tersebut secara simbolik di sini hari ini yang dijangka lengkap dibina pada Disember depan.

Acara serba ringkas namun penuh bermakna itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorty Sundara Raja.

Siemens Energy ditubuhkan Siemens Group pada 1 April 2020 lalu beribu pejabat di Munich, Jerman dengan ketika ini telah mempunyai sejumlah 91,000 pekerja di lebih 90 buah negara.

Dengan pengalaman induknya yang diasaskan pada 1903, peneraju pasaran tenaga boleh diperbaharui global itu tahun lepas berjaya menjana pendapatan €28.5 bilion (RM130.6 bilion).

Mengulas lanjut, Morillon berkata, fasiliti canggih itu berperanan sebagai pusat pengecaman ancaman dan tindak balas serangan dengan teknologi operasi terbina dalam masa sebenar.

“Ia bakal dikuasakan dengan teknologi wadah respons awal pengesanan diurus dan perisian Eos.ii berdasarkan kecerdasan buatan (AI) yang paling maju,” jelasnya penuh optimistik.

Keperluan pusat itu seiring peningkatan ancaman keselamatan maya seluruh dunia dan proses pendigitalan prasarana tenaga global yang meletakkan Malaysia sebagai hab serantau.

Menyentuh pemilihan Malaysia, beliau secara terbuka berkata, kedudukan negara ini yang amat strategik di peta dunia terutama laluan perdagangan tersibuk sejagat antara faktornya.

Tambahan pula, Malaysia sudah memiliki infrastruktur digital yang lengkap setanding negara maju selain mempunyai ramai tenaga yang berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat.

Asia Pasifik ujarnya, menjadi penentu transisi industri tenaga global dan demi memastikan transformasi landskap bekalan lebih efektif, pertahanan siber penting dalam rantaian sistem.

“Pelaburan jangka panjang ini menjamin kesinambungan tenaga lebih selamat dan berdaya tahan daripada risiko kerosakan akibat ketirisan mudah digodam anasir luar,” kata Morillon.

Sementara itu, Sivasuriyamoorty ketika berucap turut memuji inisiatif Siemens Energy yang meletakkan kepercayaan kepada Malaysia dan menyokong agenda MyDigital oleh kerajaan.

Langkah syarikat Eropah terkenal itu bukan sahaja akan melatih kepakaran tempatan, malah selaras usaha Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi dipacu bidang pendigitalan.

MIDA jelasnya, berbesar hati kerana kolaborasi berterusan sektor awam dan swasta akan mempercepatkan kadar adaptasi teknologi digital dan amalan keselamatan siber yang efisien.

Penubuhan pusat Siemens itu juga menyumbang pembangunan modal insan negara di samping mempersiapkan ramai tenaga mahir dalam industri berkenaan mengikut piawaian dunia.

“Sebagai agensi penggalak pelaburan, kami optimis menjadikan negara ini sebagai hab digital ASEAN dan ini sejajar aspirasi ditetapkan Rancangan Malaysia Ke-12,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN