PETALING JAYA: Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd., Malaysia Aviation Group (MAG) melaporkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM433 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada kerugian sebanyak RM1.761 bilion tahun lalu.
Prestasi bertambah baik itu dipacu kejayaan penstrukturan semula MAG dan pertumbuhan hasil perniagaan kargo ketika industri penerbangan global terus berdepan dengan kesan pandemik.
MAG dalam kenyataan memaklumkan, cabang perniagaan kargonya, MAB Kargo Sdn. Bhd. meningkat 52 peratus kepada RM3 bilion pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, walaupun trafik penumpang lebih rendah dan kapasiti Malaysia Airlines berkurangan masing-masing sebanyak 62 dan 71 peratus pada 2021, Malaysia Airlines merekodkan hasil penumpang sebanyak 57 peratus lebih tinggi, dibantu oleh Penyelesaian Maksimum Hasil Syarikat Penerbangan (ARMS).
“Penstrukturan semula kumpulan pada 2021 memberi peluang kepada MAG untuk membaiki kunci kira-kira secara holistik dan menangani isu-isu lama, sekali gus mengurangkan liabiliti kumpulan lebih RM15 bilion dan menghapuskan RM10 bilion hutang.
“Kos operasi yang rendah daripada inisiatif penjimatan kosnya di seluruh kumpulan serta kos pajakan yang lebih rendah selepas penstrukturan semula yang berjaya menyumbang kepada peningkatan prestasi pada 2021,” kata MAG dalam kenyataan.
Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur, MAG berkata, pihaknya menyaksikan permintaan penumpang dan jualan yang kukuh sekali gus menyumbang kepada baki tunai kumpulan yang kukuh.
MAG berkata, operasi kargo akan terus menerajui pasaran penerbangan memandangkan permintaan untuk pergerakan kargo di rantau Asia Pasifik dijangka meningkat sehingga lima peratus.
“Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan sekutunya akan menambah kapasiti secara beransur-ansur untuk kedua-dua laluan domestik dan antarabangsa, menjangkakan mencapai kapasiti lebih 70 peratus ke tahap sebelum pandemik.
“Firefly telah memulihkan operasi jetnya dari hab baharu iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, mulai 11 April lalu,” katanya.
Syarikat penerbangan di bawah kumpulan itu menerbangkan 1.745 juta penumpang pada tahun lalu, berbanding 3.939 juta pada tahun sebelumnya.
Faktor muatan penumpang di seluruh syarikat penerbangan MAG turun kepada 46 peratus daripada 63 peratus.
Walaupun tumpuan kukuh kumpulan pada 2021 kekal pada pengurusan kos, perniagaan penerbangan utama, Malaysia Airlines terus menambah baik pengalaman pelanggan hujung ke hujungnya dan mempertingkatkan penawaran produk untuk memulihkan dan mendapatkan semula keyakinan pelanggan dalam perjalanan dengan pantas. – UTUSAN










