PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka dua juta kenderaan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Sehubungan itu, pengendali lebuh raya berkenaan menyarankan orang ramai membuat perancangan untuk pulang ke kampung lebih awal bagi mengelak terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak dan kesesakan menjelang cuti perayaan itu, terutama pada hari-hari akhir Ramadan.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pada hari-hari puncak bermula 29 April hingga 9 Mei, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25 peratus kepada 2 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta ketika ini.
“Oleh itu, kami menyarankan agar orang ramai supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal,” katanya dalam kenyataan.
Azman berkata, PLUS akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (ITA) dalam tempoh terdekat bagi membantu orang ramai merancang perjalanan Balik Kampung dan Balik Kota pada musim perayaan ini.
“Pasukan Operasi lebuh raya kami juga telah bersiap-siaga dan bersedia untuk membantu orang ramai untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Aidilfitri yang amat dinanti-nantikan tahun ini.
“Ia melibatkan pendekatan yang holistik yang merangkumi pelbagai aspek termasuklah adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai. Pelan persediaan operasi lebuhraya tersebut akan diumumkan kemudian,” tambah beliau. – UTUSAN










