SEREMBAN: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pengeluaran susu getah atau latek tempatan ketika ini masih belum mencukupi bagi memenuhi permintaan pihak industri sarung tangan getah di negara ini.
Beliau berkata, kebanyakan kilang masih bergantung kepada penggunaan getah sintetik dan negara terpaksa mengimport bekalan dari negara lain seperti Thailand.
“Bagaimanapun pengeluaran lateks di negara ini juga adalah bagi menampung penghasilan produk-produk lateks yang lain, jika ia hanya tertumpu kepada penghasilan sarung tangan getah, pengeluaran lateks kita adalah mencukupi.
“Oleh itu juga, kewujudan Koridor Lateks Pantai Timur (KLPT) turut bertujuan memastikan industri sarung tangan getah dalam negara mempunyai bekalan lateks yang cukup,” katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke kilang Meditech Gloves Sdn. Bhd di Nilai di sini, semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Majlis Getah Malaysia, Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Meditech Gloves Sdn. Bhd, Fairuz Nasir.
Dalam pada itu, Zuraida menambah, permintaan untuk sarung tangan getah negara meningkat sehingga lebih 25 peratus didorong oleh suasana pandemik Covid-19 yang dihadapi di seluruh dunia.
“Bagaimanapun, dalam fasa peralihan ke endemik, masyarakat dunia sudah menyedari kepentingan untuk penggunaan sarung tangan getah bagi tujuan menjaga kebersihan dan keselamatan mereka.
“Oleh itu, saya berpandangan, permintaan terhadap sarung tangan getah tetap akan meningkat. Trend sudah ada sekarang, orang ramai amat mengambil berat tentang kesihatan dan kebersihan mereka, jadi penggunaan sarung tangan getah sudah menjadi kebiasaan,” katanya yang turut memberitahu nilai eskport sarung tangan getah negara kini mencecah sebanyak RM54.8 bilion.
Dalam pada itu, kerajaan akan menggalakkan lebih banyak kilang-kilang pengeluaran sarung tangan getah di negara ini untuk menjalankan operasi mereka di kawasan KLPT iaitu melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Zairossani Mohd. Nor berkata, di kawasan tersebut akan lebih banyak kilang-kilang memproses lateks dibina, memudahkan kilang-kilang sarung tangan getah memperoleh bekalan bahan mentah.
“Kilang-kilang memproses lateks akan ditubuhkan di koridor ini, oleh itu kami mahu menggalakkan lebih banyak kilang-kilang pengeluar sarung tangan getah untuk beroperasi di Pantai Timur.
“Di sana nanti mereka akan bersepadu, ada hasil lateks yang boleh terus mereka hasilkan produk di sana. Ketika ini kebanyakan kilang penghasilan sarung tangan getah beroperasi di Pantai Barat,” katanya.
Zairossani menambah, kawasan pengeluaran getah di tiga buah negeri terlibat membabitkan seluas 400,000 hektar daripada keseluruhan 1.04 juta hektar di seluruh negara.
“Kita punya kawasan pengeluaran getah sudah berubah, dahulu, kawasan pengeluaran getah kita di Pantai Barat, tetapi sekarang berubah di Pantai Timur, iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan utara Perak,” katanya. – UTUSAN










