Pengeluaran getah asli Februari menurun 39 peratus - Utusan Malaysia

Pengeluaran getah asli Februari menurun 39 peratus

getah
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli menurun sebanyak 39 peratus kepada 29,920 tan metrik Februari lalu berbanding 49,087 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Perbandingan tahunan turut menunjukkan penurunan 40 peratus berbanding 49,840 tan metrik yang direkodkan Februari tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, trend penurunan yang berlaku ketika ini selari dengan laporan dikeluarkan Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) pada keluaran laporan Statistik Getah Asli bulanan, Januari – Februari 2022.

Menurutnya, laporan tersebut menyatakan di sebalik sentimen yang positif dalam pasaran getah asli, terdapat juga beberapa cabaran yang mungkin menghalang pertumbuhannya. 

“Dari segi penawaran, ia banyak dipengaruhi oleh iklim yang buruk, kekurangan tenaga kerja di negara pengeluar getah asli di tengah-tengah peningkatan penyebaran varian Covid-19, kes Omicron di seluruh dunia dan musim luar menoreh yang mungkin memburukkan lagi kesesakan bekalan bahan mentah pada bulan akan datang.

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 88.4 peratus berbanding sektor estet dengan hanya 11.6 peratus,” katanya dalam laporan perangkaan getah bulanan, semalam.

Jumlah stok getah asli meningkat sebanyak 2.8 peratus pada Februari kepada 318,699 tan metrik berbanding 310,002 tan metrik pada Januari manakala kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 93.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (6.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,682 tan metrik pada Februari menurun 6.8 peratus berbanding 51,160 tan metrik pada Januari. 

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 50.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2022 diikuti Amerika Syarikat (5.1 peratus), Jerman (3.5 peratus), Turki (3.4 peratus) dan Brazil (2.1 peratus). 

Jelas Mohd. Uzir, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. 

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.9 billion pada Februari 2022, menurun 13.5 peratus berbanding RM2.2 bilion pada bulan sebelumnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya