RIYADH: Syarikat Arab Saudi, ACWA Power dan rakan kongsinya memulakan kerja pembinaan projek hidrogen hijau terbesar dunia di NEOM.
NEOM ialah nama bandar masa hadapan yang akan dibina di Wilayah Tabuk, barat laut Arab Saudi.
Ia dirancang untuk menggabungkan teknologi bandar pintar dan berfungsi sebagai destinasi pelancongan.
Tapak itu terletak di utara Laut Merah, timur Mesir merentasi Teluk Aqaba dan selatan Jordan
ACWA Power dalam maklumannya kepada bursa Arab Saudi memberitahu, syarikat bersama rakan kongsinya mengumumkan kontrak berjumlah AS$900 juta (RM3.8 bilion) untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan projek itu.
Ketua Pegawai Eksekutif ACWA Power, Paddy Padmanathan memberitahu Arab News dalam temu bual tahun lalu bahawa, projek itu akan menjadi `game changer’ untuk kerajaan dan syarikat kerana ia akan membantu ACWA berkembang ke dalam perniagaan hidrogen hijau sebaik sahaja ia selesai.
Padmanathan berkata, beliau menjangkakan akan menutup pembiayaan untuk projek boleh diperbaharui itu pada separuh kedua 2022.
“Kilang itu memerlukan sekitar 4.3 gigawatt (GW) tenaga bersih untuk menjanakannya, dan ACWA merancang menggunakan solar pada waktu siang dan angin waktu malam untuk menghapuskan keperluan bateri dan penyelesaian penyimpanan yang mahal,” katanya.
Pada Julai 2020, Air Products bersama ACWA Power dan NEOM, mengumumkan perjanjian untuk kemudahan pengeluaran hidrogen hijau berasaskan ammonia berskala dunia yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui.
BBC melaporkan bahawa, bandar NEOM adalah sebahagian daripada rancangan Wawasan 2030 Arab Saudi untuk menghentikan penggantungan kepada minyak, industri yang menjadikannya kaya.
Dalam NEOM akan ada Oxagon, sebuah bandar terapung di atas air sepanjang 7 kilometer – menjadikannya struktur terapung terbesar di dunia.
Rancangan awal untuk bandar ini dengan anggaran kos sebanyak AS$500 bilion (RM2.11 trilion) termasuk teksi terbang, taman hiburan gaya Jurassic Park dan bulan buatan gergasi yang menyala setiap malam.
NEOM juga akan menjadi lokasi kepada TROJENA, destinasi pelancongan gunung yang akan menawarkan aktiviti ski sepanjang tahun, pusat peranginan kesihatan dan rizab alam semula jadi interaktif. – AGENSI










