Nestle catat untung bersih lebih tinggi sebanyak RM205.18 juta.

Nestlé rekod untung bersih RM205.18 juta

Antara produk baharu keluaran Nestle (Malaysia) Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Bhd. membuka tirai tahun ini dengan prestasi mantap apabila mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM205.18 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM175.16 juta direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Keputusan yang lebih menggalakkan ini dicapai walaupun berhadapan dengan kesan harga komoditi lebih tinggi, dan juga kesan Cukai Makmur yang dikenakan terhadap untung bersih.

Hasil turut meningkat sebanyak 16.9 peratus kepada RM1.69 bilion, berbanding RM1.45 bilion pada suku sama tahun lalu, dipacu oleh jualan domestik dan eksport lebih tinggi, yang masing-masing melonjak sebanyak 14.9 dan 25.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, pihaknya melihat momentum penggunaan yang semakin menggalakkan, disokong oleh usaha kumpulan untuk merangsang permintaan dan juga pelaksanaan operasi yang cemerlang oleh pasukan kilang, logistik dan jualan.

“Prestasi cemerlang dicatatkan dalam perniagaan teras makanan dan minuman (F&B) dan perniagaan luar rumah (OOH) di bawah Nestlé Professional, yang mendapat manfaat daripada peningkatan pergerakan dan pembukaan semula saluran hotel, restoran dan kafe selepas sekatan.

“Kami terus memberi tumpuan terhadap membekalkan produk yang bermutu tinggi, lazat dan berkhasiat yang memenuhi pelbagai keperluan rakyat Malaysia, di samping memastikan kecemerlangan dalam komunikasi pengguna, penglibatan digital dan aktiviti dalam kedai,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan telah memperkenalkan beberapa produk baharu yang menarik pada suku tahun yang dilaporkan termasuk rangkaian Mi MAGGI Nutri-licious rendah lemak dan rendah garam, yang menerima logo Pilihan Lebih Sihat Kementerian Kesihatan, dan juga Campuran NESCAFÉ Tarik dan Pes Perapan Ayam MAGGI.

Beberapa produk baharu juga dilancarkan di bawah bahagian Aiskrim, termasuk Aiskrim NESTLÉ Musang King, Aiskrim NESTLÉ Mochi Boba dan LA CREMERIA Chocolate Brownie Fudge dengan Garam Laut, yang semuanya mendapat sambutan awal yang hebat di seluruh Malaysia.

Menurut Aranols, pihaknya juga yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan sepanjang tahun ini, walaupun meramalkan pertumbuhan akan mula mendatar daripada paras semasa yang tinggi pada suku-suku tahun akan datang.

Jelasnya, persekitaran global tetap mencabar, dengan inflasi yang semakin meninggi di seluruh dunia dan juga di Asia akibat peperangan di Ukraine yang memberi kesan kepada harga dan bekalan komoditi makanan penting seperti gandum, barli dan minyak bunga matahari.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan mantap dari segi hasil dijangka dicatatkan pada 2022 dengan sedikit tekanan terhadap keuntungan sambil kita berusaha dengan sedaya upaya untuk mengawal kos dengan meningkatkan kecekapan dalaman dan menaikkan harga secara berpatutan.

“Walaupun pelbagai cabaran bakal dihadapi, kami bertekad untuk merebut dan memanfaatkan setiap peluang untuk mencatatkan satu lagi tahun yang mantap dan memberangsangkan, sambil terus melaksanakan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami untuk memainkan peranan dalam pembangunan lestari Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya terus menggiatkan agenda kelestarian dengan 100 peratus daripada keperluan elektrik kumpulan kini dipenuhi melalui tarif hijau yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Semula Jadi (KeTSA) pada suku terakhir 2021.

“Selepas menerima sambutan positif bagi program kutipan dan kitar semula di kaki lima yang sedia ada, kami meluaskan inisiatif tersebut untuk melibatkan komuniti yang lain, termasuk Kuala Lumpur, menerusi kerjasama dengan Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd.

“Selain itu, di bawah inisiatif penanaman semula hutan kami yang dinamakan Projek RELeaf, kami telah menjalankan aktiviti penanaman pokok yang pertama bersama Sime Darby Plantation Berhad, menyumbang kepada matlamat kami untuk menanam tiga juta pokok menjelang 2023,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×