Maybank di landasan betul untuk memenuhi matlamat di bawah Pelan M25

Maybank di landasan betul untuk capai matlamat M25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) berada di landasan yang betul untuk memenuhi matlamat di bawah Pelan M25nya yang menggariskan strategi penyedia perkhidmatan kewangan dari 2021 hingga 2025 dengan meningkatkan keupayaan digital, memacu nilai baharu untuk pertumbuhan perniagaan selain memperjuangkan amalan mampan.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, bank itu akan mempercepat usaha untuk membuka nilai tambah yang lebih besar kepada pihak berkepentingan.

Jelasnya, walaupun menghadapi keadaan mencabar akibat pandemik dan situasi geopolitik yang tidak menentu, Maybank mencatatkan prestasi kewangan yang baik pada 2021 dengan keuntungan bersih meningkat sebanyak 24.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.1 bilion terutamanya disebabkan daya tahan dan kekuatan kewangannya yang teguh.

“Dengan pasaran utama kami menuju ke fasa endemik, kami menjangkakan pemulihan ekonomi lebih besar di seluruh rantau ini yang dirangsang oleh pembukaan sempadan. Ini merupakan petanda positif dan kami percaya ia meletakkan Maybank di posisi hadapan untuk memastikan kami mencapai matlamat M25.

“M25 berteraskan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan mempunyai strategi yang jelas berfokuskan pada tiga keutamaan iaitu Penerapan Digital, Pemacu Nilai Baharu dan Kemampanan.

“Dalam tempoh setahun pelancaran M25, tiga keutamaan ini telah memenuhi tujuan masing-masing dan telah menjejaki pencapaian yang dirancang,” katanya dalam sidang akhbar secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 Maybank, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Abdul Farid Alias memaklumkan, tumpuan kumpulan untuk membina tiga keutamaan strategik telah membolehkannya untuk terus berada di hadapan, dan terus berkhidmat kepada masyarakat, terutamanya semasa permulaan pandemik.

Ujarnya, Maybank telah mencapai kemajuan dalam meraih peluang pertumbuhan melalui Pemacu Nilai Baharu, mengembangkan penawaran dalam bidang digital, kemampanan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kekayaan, insurans, perbankan Islam dan pengurusan pelaburan.

“Ini telah memanfaatkan pelbagai pelanggan daripada pelanggan runcit ke korporat serta segmen kurang mampu di rantau ini.

Maybank juga meneruskan usaha untuk memacu peralihan secara bertanggungjawab ke arah ekonomi rendah karbon, memperkasakan komuniti di seluruh ASEAN dan memimpin dengan amalan tadbir urus yang baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN