PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangka kutipan hasil cukai laba minyak sawit akan mencecah sekitar RM400 juta hingga RM500 juta setiap suku tahun.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berikutan keputusan Indonesia untuk mengehadkan eksport minyak sawitnya, kerajaan akan mendapat penambahan hasil kerana sebarang peningkatan hasil dari minyak sawit akan memberi hasil tambahan kepada kerajaan melalui cukai laba minyak sawit.
“Saya menjangka kutipan hasil cukai laba itu sekitar RM400 juta hingga RM500 juta setiap suku tahun.
“Namun permintaan yang tinggi menyebabkan firma peladang minyak sawit di negara kita mengalami masalah dari segi memenuhi permintaan tersebut kerana kekurangan tenaga pekerja di ladang masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, dengan langkah Indonesia yang telah mengharamkan eksport sawit, Malaysia akan menikmati peluang emas menggantikan tempat negara itu.
Jelasnya, Malaysia akan menerima limpahan dari segi makro, pendapatan dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan meningkat. Peneroka juga akan menerima faedah peningkatan dalam harga.
“Namun, kita juga harus bersedia dan pastikan untuk tidak mengabaikan permintaan domestik serta harga domestik agar tidak mengalami masalah serupa dengan Indonesia,” katanya.
Setakat 4 petang semalam, harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM7,078 setiap tan, menurun sedikit berbanding RM7,234.50 pada hari sebelumnya.
Antara kaunter perladangan yang untung adalah NPC Resources Berhad, Sime Darby Plantation Berhad, Innoprise Plantations Berhad, Genting Plantations Berhad, Boustead Plantations Berhad, Cepatwawasan Group Berhad dan PLS Plantation Berhad. – UTUSAN










