
“Mana ada lagi baju Melayu di bawah RM100 sepasang. Anak beli RM280. Itu baharu sepasang, jika dua tiga pasang dah lebih RM800.
“Plastik bekas makanan pun dah mahal, dulu satu bekas RM11, sekarang RM18, harga naik hari-hari. Jadi, kalau kita naikkan harga makanan, orang tak boleh marah, sebab harga barang pun dah mahal.”
Demikian luahan seorang jiran saya, mengenai senario kenaikan harga barangan di pasaran. Kenaikan itu beliau jangkakan akan berterusan menjelang sambutan Aidilfitri.
Beliau jangkakan peniaga turut mengambil peluang menaikkan harga selepas kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pembayaran menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bermula kelmarin (18 April 2022), dipercepatkan dari jadual asal pada 20 April 2022.
Menurut KWSP, sebanyak 5.3 juta permohonan telah diterima di bawah kemudahan Pengeluaran Khas itu bersamaan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.
Dengan tambahan RM10,000 dan `bonus raya’ di tangan, rakyat mempunyai kuasa beli berganda untuk menyediakan keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini. Sambutan dijangka lebih meriah selepas dua tahun umat Islam tidak dapat meraikannya secara terbuka disebabkan pandemik. Maka, masing-masing khabarnya ingin bergaya di hari lebaran.
Keghairahan membeli-belah itu sudah tentu berita gembira buat peniaga kerana berpeluang menaikkan harga barang, sebagaimana diluahkan jiran saya tadi yang turut bersedia menghadapi kesesakan lebuh raya trafik sempena cuti Nuzul Al-Quran.
Itu baharu barangan kering, belum barang basah atau barang dapur. Meskipun usaha dilakukan oleh pihak kerajaan mengawal harga, kenaikan tetap berlaku di sana sini dan setiap kenaikan akan memberikan kesan rantaian.
Bagi yang ingin `melaram’ dengan barang kemas pula, kenaikan harga komoditi itu ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan, bukanlah berita menggembirakan. Berdasarkan tinjauan saya di sebuah kedai emas sebelum ini, emas 999 dijual RM310 segram, manakala 916 hampir RM300. Peniaga menjangkakan harga akan terus melonjak sempena Aidilfitri.
Ringkasnya, sebanyak mana pun duit di tangan, taraf hidup rakyat tidak akan banyak berubah jika harga barangan seharian terus meningkat. Malah, keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum RM1,500 juga dilihat tidak akan banyak mengubah kehidupan rakyat, jika kos hidup meningkat saban hari dan lebih laju berbanding gaji yang belum tentu naik setahun sekali. – UTUSAN










