BERA: Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) berhasrat mengembangkan sektor peruncitan dengan menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak koperasi untuk memperkasakan aktiviti ekonomi.
Terbaharu, Ko-Makmur bekerjasama dengan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera (KopBera) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.
Pengerusi Ko-Makmur, Khairul Azam Awang berkata, koperasi perlu memainkan peranan mencari jalan untuk menawarkan harga yang lebih murah kepada masyarakat.
“Ia dapat direalisasikan jika koperasi bergabung dengan adanya kerjasama ini aktiviti peruncitan dapat diperkasakan dalam sektor koperasi.
“Secara tidak langsung dapat membantu rakyat dengan memberi ruang untuk mendapatkan bekalan pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pembukaan Pasaraya MG Coopmart-KopBera dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarg Malaysia, Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Khairul Azam, dengan data yang ada, terdapat 14,000 koperasi yang berdaftar di seluruh negara dan hampir 30 peratus terlibat dengan sektor pemborongan dan peruncitan.
“Kami yakin sekiranya koperasi terbabit bergabung ianya daoat memberikn impak yang besar dalam usaha menawarkan harga berpatutan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
Katanya, Ko-Makmur berpengalaman mengendalikan 12 pasaraya MG Coopmart yang berpangkalan di Pahang.
“Kuncinya nampak kita perlu dapatkan bekalan secara pukal daripada pengeluar terutama pengilang dengan mekanisma itu boleh kurangkan harga dan mengurangkan lapisan orang tengah,” katanya.
Katanya, pada mulanya ia beroperasi di negeri sebelah Pantai Timur sebelum berkembang kepada 10 MG Coopmart termasuk dua di Lembah Klang dan lima cawangan lagi bakal dibuka dalam masa terdekat termasuk satu di Putrajaya, Mei ini.
Ko-Makmur juga akan menggunakan kejayaan model kerjasama dengan Koperasi Pertubuhan Anak Yatim Al-Ihsan di Lipis,Pahang yang terbukti menunjukkan potensi apabila kedai pasar mini itu berjaya meraih jualan hampir 2 juta ringgit dalam tempoh setahun.
Justeru, dengan menggunakan model sama, Ko-Makmur akan mengembangkan lagi sektor peruncitan kepada koperasi lain dalam negara. – UTUSAN










