PUTRAJAYA: Malaysia muncul negara paling menyokong ekonomi Islam global.
Perkara itu dinyatakan oleh platform media dan berita ekonomi Islam, DinarStandard dalam Laporan Tahunan Keadaan Ekonomi Islam Global (SGIE) 2022 yang mengambil pandangan menyeluruh negara berprestasi terbaik berhubung peluang ekonomi Islam yang semakin meningkat.
Malaysia terus kekal di kedudukan teratas dalam ranking keseluruhan untuk tahun kesembilan berturut-turut diikuti oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.
Menurut kenyataan Pusat Pelancongan Islam (ITC), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (MOTAC), Skor Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) itu meletakkan Malaysia di tempat teratas menerusi empat daripada enam sektor, iaitu Pelancongan Mesra Muslim, Kewangan Islam, Makanan Halal serta Media dan Rekreasi.
Bagaimanapun, Malaysia menduduki tempat kedua dan kesembilan masing-masing dalam kategori Farmasi dan Kosmetik serta Fesyen Sederhana.
“Dari segi Pelancongan Mesra Muslim, Malaysia termasuk dalam lima negara teratas sebagai destinasi pelancongan Muslim bersama Turki, Arab Saudi, UAE dan Iran.
“Kekuatan Malaysia dalam bidang ini adalah berdasarkan kemudahan perjalanan dan tahap kesedaran orang ramai,” katanya, semalam.
Laporan itu turut menyebut, Malaysia mengungguli dua daripada lima dimensi penanda aras kerajaan, khususnya dalam tadbir urus yang memberi tumpuan kepada peraturan serta garis panduan pelancongan yang merujuk kepada liputan media dan latihan pihak berkepentingan.
ITC menjelaskan, antara intipati penting menerusi laporan berhubung potensi pertumbuhan pelancong Muslim itu ialah sektor pelancongan mesra Muslim semakin beransur pulih, hasil daripada pelancaran vaksinasi global.
Katanya, ketika dunia membuka semula sempadan negara kepada pelancongan, pusat peranginan, hotel dan restoran yang mesra Muslim dijangka berkembang pesat pada tahun-tahun mendatang.
“Selepas impak teruk pandemik Covid-19, perbelanjaan Muslim untuk pelancongan meningkat sebanyak 75.9 peratus pada tahun lalu mencecah AS$102 bilion dan diramalkan meningkat kepada AS$189 bilion menjelang 2025.
ITC mamaklumkan, pada tahun lalu, umat Islam di seluruh dunia membelanjakan anggaran AS$2 trilion untuk sektor pelancongan, makanan, farmaseutika, kosmetik, fesyen, media dan rekreasi.
Katanya, angka ini mencerminkan pertumbuhan 8.9 peratus dari tahun ke tahun sejak 2020 dengan aset kewangan Islam dianggarkan meningkat sebanyak 7.8 peratus iaitu sebanyak AS$3.6 trilion pada 2021 daripada tahun sebelumnya.
“Lima pasaran sumber luar Muslim teratas pada 2021 ialah Arab Saudi, UAE, Qatar, Kuwait dan Rusia.
“Melangkah ke hadapan, pemain industri pelancongan boleh menjangkakan permintaan untuk perkhidmatan pelancongan peribadi dan kebergantungan kepada agensi pelancongan bagi membantu pengembara mengemudi perjalanan pasca wabak mereka dan keperluan pelancongan yang pelbagai,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan Malaysia itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Malaysia berada di landasan betul dalam menyediakan industri pelancongan untuk pasaran pelancong Muslim yang semakin berkembang.
Katanya, semasa pandemik, ITC mempergiatkan usaha untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pihak berkepentingan industri pelancongan untuk memahami dan memenuhi pasaran ini dengan keperluan berkaitan.
Jelas beliau, ITC menyokong industri dengan membangunkan piawaian dan garis panduan untuk mengukuhkan penyampaian perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti Muslim.
“Ekosistem Pelancongan Islam serta penjenamaan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim adalah jalan ke hadapan kerana kami membuka semula sempadan Malaysia dengan selamat kepada pelancong baharu dan berulang,” katanya. – UTUSAN










