PETALING JAYA: China tetap menjadi pasaran penting buat Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) walaupun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19 apabila beberapa wilayah di negara itu dikenakan perintah berkurung.
Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, PCG sedang menguruskan aspek pengedaran dengan mengalih beberapa produk ke kawasan lain yang tidak terjejas dengan perintah berkurung yang dilaksanakan oleh kerajaan China.
“Saya percaya China akan terus menjadi pasaran utama kami dan menjadi pasaran pertumbuhan ke hadapan tahun ini. Tahun ini, kami menjangkakan China akan menyumbang kepada pertumbuhan sekitar lapan peratus,”katanya pada sidang akhbar secara mata selepas mesyuarat agung tahunan ke-24 PCG, semalam.
Turut serta, Pengerusi PCG, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim dan Ketua Pegawai Kewangan, Mohd. Azli Ishak.
Pada tahun lalu, China telah menyumbang 14 peratus daripada pendapat PCG berjumlah RM22.5 bilion.
PCG menutup 2021 dengan keuntungan selepas cukai tertinggi sebanyak RM7.3 bilion sejak penubuhannya.
Menurut Mohd. Yusri, PCG akan meneruskan tumpuannya untuk meningkatkan aliran tunai dari operasi dan komersial pada tahun ini.
Selain itu, katanya, PCG juga akan meneruskan tumpuannya kepada operasi dan keselamatan loji, mengekalkan kadar penggunaan loji terbaik dalam kelas pada 93 peratus, mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan setahun (tpa) dan mengekalkan rekod keselamatan yang cemerlang.
Dari aspek pertumbuhan, ujarnya, PCG melalui anak syarikat milik penuhnya, BRB International, mengukuhkan kehadiran di rantau ini sebagai pengeluar silikon utama dengan permulaan kemudahan pencampuran silikon baharunya di Gebeng, Pahang.
Beliau berkata, kemudahan itu mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 8,000 mt dengan rangkaian produk yang pelbagai yang akan membolehkan PCG mengembangkan portfolio khusus dan secara beransur-ansur mengembangkan penawaran produknya kepada pelanggannya.
“Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) kami, yang kini dalam peringkat akhir kesediaan permulaan, menyediakan satu lagi platform untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam kedua-dua bahan kimia asas dan khusus.
“Kami menjangkakan untuk memulakan permulaan pada suku kedua 2022. Dengan PIC, PCG akan dapat meningkatkan kapasiti pengeluarannya daripada 12.8 juta kepada 14.6 juta tan setahun,” katanya.
Mengulas mengenai strategi kelestarian PCG, Mohd. Yusri berkata, pihaknya telah membuat kemajuan yang baik dalam menyemai kelestarian pada teras bagi semua yang dilakukan.
Beliau berkata, PCG telah beralih kepada skop yang lebih luas, sejajar dengan tunggak Ekonomi, Alam Sekitar dan Sosial (EES) yang turut disokong oleh tadbir urus yang kukuh.
“Pada 2021, PCG mencapai kejayaan dengan penubuhan Pelan Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) 2050 yang sesuai digunapakai oleh industri kimia bagi membimbing pembuatan keputusan strategik jangka masa panjang mengenai kesan iklim, daya tahan perniagaan, serta peluang hasil daripada perubahan iklim dan ekonomi pekeliling.
“Di bawah pelan tersebut, yang juga sejajar dengan aspirasi sifar bersih PETRONAS, PCG telah menetapkan sasaran pengurangan karbon baharu sebanyak 20 peratus menjelang 2030, 60 peratus lagi menjelang 2040 dan akhirnya, sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Dari segi sosial, jelasnya, PCG terus melabur bagi kesejahteraan pekerja dan masyarakat melalui inisiatif yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 300,000 individu, termasuk pengagihan Pakej Bantuan Covid-19 untuk membantu mereka yang terjejas oleh wabak tersebut, inisiatif pelepasan banjir, pendidikan awam mengenai plastik dan pengurusan sisa yang berkesan, pemuliharaan bakau dan program bio-kepelbagaian, antara lain.
“Pada ketika negara sedang beralih ke fasa endemik tahun ini, PCG kekal berhati-hati memandangkan kenaikan harga minyak dan komoditi serta ketegangan geopolitik yang mungkin memberi kesan kepada ekonomi global.
“PCG akan meneruskan kecemerlangan operasi dan komersial kami, usaha pengoptimuman kos dan mengejar peluang pertumbuhan pada 2022,” katanya. – UTUSAN










