Pelancaran AHTV bakal membawa impak positif berganda

AHTV bawa impak positif berganda

ISMAIL Sabri Yaakob melakukan gimik pelancaran Lembah Automotif Berteknologi Tinggi di Proton City, Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelancaran Lembah Automotif Berteknologi Tinggi atau AHTV bakal membawa impak positif berganda kepada pelbagai sektor ekonomi negara seterusnya menjanjikan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Projek itu bukan sahaja menjadi pemangkin kepada rantaian nilai industri automotif tetapi juga kepada industri pembinaan, perumahan dan peruncitan negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkembangan pesat industri kenderaan elektrik (EV) global berikutan ketidaktentuan harga minyak dan perubahan kepada mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka menjadi tarikan utama kepada pelaburan asing.

Jelasnya, ini menjadikan projek AHTV tepat pada masanya kerana sesuai dengan kehendak pelabur terkini yang lebih cen­derung kepada projek-projek lestari dan mesra alam.

“Kewujudan Proton dan Perodua disekitar hab AHTV juga boleh menjadi tunjang kepada perkembangan untuk menarik lebih ramai pemain industri terutamanya dari luar negara untuk mewujudkan operasi pengeluaran mereka.

“Penubuhan AHTV ini juga diharap menjadi pemangkin kepada IR4.0 dan dasar pendigitalan negara terutama dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan, IT, reka bentuk, kecerdasan buatan, penyelesaian mobiliti dan pembangunan perisian.

“Ia harus mengubah fasa pemindahan teknologi negara kepada era automasi dengan mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan tempatan serta memastikan daya saing pengeluar peralatan asli tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan AHTV DRB-Hicom Berhad di Tanjung Malim, Perak yang boleh menjadikan negara sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran Asean bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

Menurutnya, pembangunan AHTV juga dapat menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain ke­rana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar malah dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, AHTV bakal mentransformasikan Tanjung Malim terma­suk industri automatif negara ke arah teknologi baharu yang mampu mengukuhkan agenda nasional ke arah kelestarian ekonomi.

Ujarnya, Malaysia tidak lagi mampu bersaing dengan negara Asean lain seperti Indonesia dan Vietnam dari segi menarik pelabur yang mahu membina kilang di dalam industri tradisional atas faktor harga tanah dan kos tenaga pekerja yang murah.

“Oleh itu, pelaburan yang bersifat nilai tambah dan mengaplikasikan teknologi terkini seperti AHTV ini bakal memberi impak yang positif kepada rakyat dari segi menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang menjanjikan gaji yang lebih lumayan.

“Industri dan peniaga tempatan juga akan mendapat limpahan ekonomi yang positif dari segi peluang perniagaan yang bertambah luas dan kehadiran lebih ramai pekerja di kawasan tersebut,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×