Takaful Ikhlas bantu asnaf - Utusan Malaysia

Takaful Ikhlas bantu asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas) dengan kerjasama Majlis Orang-Orang Besar Diraja Kelantan melaksanakan program penyerahan bantuan Ramadan kepada asnaf terpilih di negeri Kelantan.

Melalui program itu, Takaful Ikhlas telah membuat sumbangan berjumlah RM40,000 daripada zakat wakalah syarikat untuk diedarkan kepada 150 keluarga miskin di 10 kawasan jajahan di negeri Kelantan bagi membantu mereka membuat persediaan menjalani ibadah puasa.

Sumbangan itu merangkumi barang keperluan asas bernilai RM100.00 dan sumbangan wang tunai sebanyak RM200.00 seorang. Kriteria penerima adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Penyerahan replica cek sumbangan disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin kepada Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Rudy Rodzila berkata, pihaknya di Takaful Ikhlas sentiasa prihatin dan empati pada golongan yang kurang berkemampuan.

“Kami berharap semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga yang terlibat dan menerbitkan senyuman di wajah mereka.

“Dalam usaha membantu para asnaf membuat persediaan menjalani ibadah puasa, Takaful Ikhlas menyediakan barang keperluan berbeza bagi setiap jajahan.

“Pembelian barangan dibuat selepas penyelarasan daripada pihak Puspanita Kelantan agar barang yang dibeli bukan barangan yang sama atas arahan pegawai tadbir daerah.

“Itu bagi memastikan barang yang dibeli menepati keperluan penerima dan sesuai dengan mereka sekali gus sebagai langkah mengelakkan pembaziran,” katanya dalam kenyataan.

Program penyerahan bantuan Ramadan itu merupakan satu daripada aktiviti di bawah IKHLAS Barakah House iaitu inisiatif pengumpulan dana patuh syariah yang bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti-aktiviti yang merangkumi penglibatan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya