Shell meninggalkan Rusia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Shell henti operasi di Rusia

Shell menyertai banyak syarikat Barat lain, apabila menghentikan operasinya di Rusia berikutan pencerobohan ke atas Ukraine. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Shell akan menghentikan semua operasinya di Rusia, termasuk loji gas asli cecair utama, sekali gus menjadi syarikat tenaga Barat utama terbaharu yang meninggalkan negara yang kaya dengan minyak itu berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Keputusan itu dibuat sehari selepas saingannya, BP meninggalkan kepentingannya dalam gergasi minyak Rusia, Rosneft dalam satu langkah yang boleh menyebabkan syarikat Britain itu mengalami kerugian lebih AS$25 bilion. Equinor Norway juga merancang untuk menghentikan operasinya di negara itu.

Shell dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menghentikan operasi di kilang utama LNG, Sakhalin 2 di mana ia memegang 27.5 peratus kepentingan, dan 50 peratus dimiliki dan dikendalikan oleh gergasi gas Rusia, Gazprom.

Menurut Shell, keputusan untuk keluar daripada usaha sama Rusia itu akan membawa kepada kemerosotan nilai dan syarikat mempunyai kira-kira AS$3 bilion aset bukan semasa dalam usaha niaga itu di Rusia pada akhir 2021.

“Kami terkejut dengan kehilangan nyawa di Ukraine dan kami kesal akibat daripada tindakan pencerobohan tentera yang tidak masuk akal itu mengancam keselamatan Eropah,” kata Ketua Eksekutif Shell Ben van Beurden dalam satu kenyataan, lapor Reuters.

Ketua Eksekutif BP, Bernard Looney telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan pasukan kepimpinannya pada Khamis, hanya beberapa jam selepas bom Rusia pertama jatuh ke atas ibu kota Ukraine, Kyiv minggu lalu.

Semasa mesyuarat tersebut, Looney menjelaskan pelaburan syarikat dalam Rosneft tidak dapat dipertahankan.

Looney mengadakan dua lagi mesyuarat lembaga pada hujung minggu, kemudian ahli lembaga mengundi untuk segera keluar daripada kepentingan Rosneft.

Looney juga bercakap dengan Setiausaha Perniagaan British Kwasi Kwarteng pada Jumaat, apabila Kwarteng menyatakan kebimbangannya tentang kepentingan BP di Rusia. Kwarteng mengalu-alukan keputusan BP itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN