PETALING JAYA: Setel bekerjasama dengan GrabPay Malaysia untuk menawarkan GrabPay sebagai pilihan tambah nilai bagi Dompet Setel, sekali gus menawarkan pengguna kenderaan di Malaysia pengalaman yang lebih inklusif dan bermanfaat.
Setel dalam kenyataan berkata, pengguna GrabPay kini boleh mengisi petrol dengan lebih lancar melalui Setel sambil meraih ganjaran di kedua-dua aplikasi berkenaan.
Katanya, pengguna bukan sahaja dapat memperoleh GrabRewards bagi setiap penambahan nilai yang dibuat di Setel, malah mereka juga dapat mengumpul mata ganjaran Mesra untuk pembelian petrol atau barangan di mana-mana Kedai Mesra di seluruh negara dengan Setel.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan, usahasama dengan GrabPay membolehkan Setel memperluaskan lagi pilihan tambah nilai serta ganjaran daripada rakan kongsinya untuk para pelanggan.
“Di Setel, matlamat kami adalah untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih baik di Malaysia. Setiap fungsi dan penambahbaikan yang kami perkenalkan di aplikasi ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami, yang terus menjadi nadi usaha inovasi kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua GrabPay, Priyanka Madan berkata, usahasama itu mencerminkan komitmen GrabPay untuk membekalkan solusi-solusi kewangan yang inklusif bagi memenuhi keperluan digital para pelanggan kedua-dua pihak.
“Sebagai penyedia e-dompet antara yang terkemuka di Malaysia, kami percaya bahawa jalinan usaha sama bersinergi boleh membekalkan rakyat Malaysia dengan akses yang mudah ke atas keperluan harian mereka seperti snek, minuman dan petrol.
“Dengan perkembangan penerimagunaan e-dompet di seluruh Malaysia, sistem sekuriti kami terus berfungsi untuk menjamin keselamatan setiap transaksi,” katanya.
Dalam pada itu, Setel berkata, bermula semalam hingga 2 April ini, pengguna baharu Setel dan GrabPay boleh meraih ganjaran tambahan sehingga RM21.
“Pengguna Setel baharu akan menerima kredit Setel sebanyak RM9 secara percuma bagi tiga transaksi tambah nilai pertama mereka yang berjumlah RM30, manakala pengguna GrabPay baharu akan dihadiahkan diskaun 20 peratus dengan had nilai sebanyak RM12 bagi transaksi dalam talian mereka yang pertama. Jadi, pengguna dapat menikmati lebih banyak kredit Setel pada harga yang lebih jimat.
“Dengan ini, para pengguna kenderaan boleh menantikan lebih banyak ganjaran dan kempen diskaun yang akan datang, khususnya pada bulan Ramadan dan Raya nanti,” jelasnya. – UTUSAN










