Rakuten Trade unjur Bursa Malaysia 1,700 mata  menjelang akhir tahun

Rakuten Trade unjur Bursa 1,700 mata, ringgit lebih kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakuten Trade mengekalkan sasaran penanda aras utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,700 mata  menjelang akhir tahun disokong kemasukan dana asing yang berterusan di pasaran ekuiti tempatan.

Ketua Penyelidikannya, Kenny Yee berkata, pihaknya percaya dana asing akan terus mendapatkan kaunter berkaitan indeks.

“Oleh itu, kami menyasarkan 1,700 sebagai sasaran akhir untuk tahun ini berdasarkan 14 kali ganda pendapatan harga pasaran, dan Cukai Makmur yang mungkin akan menjejaskan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus hingga 2.0 peratus.

“Berikutan rekod aliran keluar asing bersih sebanyak RM23.8 bilion pada 2020, terdapat aliran keluar bersih lagi sebanyak RM3.3 bilion pada 2021.

“Bagaimanapun, bagi 2022, aliran dana asing nampaknya berubah memandangkan aliran masuk asing kini berjumlah RM3.85 bilion,” katanya pada sidang akhbar Unjuran Pasaran Suku Pertama 2022 yang diadakan secara maya.

Selain itu, berikutan kejatuhan pada 2020, pegangan saham asing di bursa tempatan menurun pada 2021. Namun begitu, keadaan bertambah baik dengan pegangan saham asing beransur pulih kepada 11.71 peratus pada Februari.

Ujarnya, prestasi bursa tempatan telah mengejutkan semua orang dengan kemasukan dana asing sejak kebelakangan ini.

“Kami percaya kebimbangan terhadap penurunan lebih awal daripada jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan kadar faedah telah mendorong aliran dana kembali ke Malaysia kerana penilaian pasaran kami memikat, ditambah pula dengan hakikat bahawa pasaran kami kurang dimiliki oleh dana asing buat masa ini,” katanya lagi.

Menurut beliau, turun naik pasaran serantau sangat bergantung kepada situasi di Wall Street. Walaupun turun naik telah mengecil buat masa ini, pihaknya menjangkakan ia akan meningkat kerana pengurangan dan kemungkinan kenaikan kadar faedah adalah realiti di AS sekarang.

“Oleh itu, kami menjangkakan dana asing akan terus mengalir ke Malaysia kerana jangkaan turun naik yang rendah akan bertindak sebagai penahan terhadap sebarang perubahan luaran,” katanya.

Berhubung pertukaran asing, Rakuten Trade menjangkakan ringgit akan mengukuh berbanding dolar (AS) di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah dan aliran masuk dana asing ke Malaysia.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan ringgit akan meningkat sekitar RM4.10/4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN