PETALING JAYA: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meminta orang awam agar berwaspada terhadap individu atau organisasi yang menuntut bayaran bagi perlindungan PDIM yang disediakan kepada pendeposit di bank.
Jelas PIDM, pihaknya juga tidak mentadbir sebarang akaun khas yang dikenali sebagai “Akaun Keselamatan”.
“Di bawah Sistem Insurans Deposit yang ditadbir oleh PIDM, pendeposit dilindungi sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Perlindungan yang disediakan kepada pendeposit adalah percuma dan automatik,” jelasnya dalam kenyataan.
Menurut PIDM, pihaknya baru-baru ini telah dimaklumkan tentang penipuan kewangan (scam) yang mendakwa PIDM mentadbir satu akaun khas dikenali sebagai “Akuan Keselamatan” dan merupakan sebahagian daripad aprosedur penyiasatan oleh agensi kawal selia dan penguat kuasa.
Oleh itu, agensi berkenaan meminta orang awam berhati-hati dengan bahan pemasaran palsu yang menyalahgunakan nama dan logo PIDM bagi tujuan mempromosikan pelaburan atau perniagaan.
Katanya, contoh bahan atau dokumen yang memberikan gambaran yang tidak tepat mengenai perlindungan PIDM atau menggunakan nama dan logo PIDM tanpa kebenaran boleh didapati di laman Nasihat Pengguna Kewangan PIDM.
PIDM turut menggariskan beberapa amalan yang boleh dipraktikkan oleh orang awam agar tidak terjerat dengan penipuan kewangan, antaranya, menyemak dahulu sebarang arahan sebelum membuat pembayaran, tidak mendedahkan kata laluan kerana ia adalah rahsia, tidak tergesa-gesa mengesahkan sesuatu pembelian atau pengesahan pelaburan dan melakukan semakan berulang kali akaun bank atau telefon individu yang berusan di aplikasi `Semak Mule’ Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Senarai penipuan kewangan dan panduan bagi membantu konsumer kewangan melindungi diri mereka juga boleh didapati di laman Facebook Amaran Scam Bank Negara Malaysia (BNM).
“Orang awam juga dinasihatkan untuk merujuk kepada senarai penuh institusi ahli PIDM di www.pidm.gov.my. Institusi ahli PIDM merangkumi semua bank komersial dan institusi perbankan Islam, syarikat insurans; iaitu kedua-dua insurans am dan hayat, serta pengendali takaful, yang dilesenkan oleh BNM,” katanya. – UTUSAN










