Petronas meraih keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion

Petronas catat untung bersih RM48.6 bilion

PELANCONGAN antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kembali meraih keuntungan dengan untung bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, selepas mencatat kerugian bersih RM21 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi syarikat minyak dan gas nasional itu disokong pemulihan harga komoditi disebabkan peningkatan kembali permintaan dalam sektor tenaga serta pembukaan ekonomi apabila lebih ba­nyak penduduk dunia mendapat vaksinasi penuh.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga lebih baik pada RM100.5 bilion dan kerugian rosot nilai yang rendah berikutan aliran menaik dalam harga minyak tetapi sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang lebih tinggi.

Petronas turut mencatatkan lonjakan pendapatan kepada RM248 bilion berbanding RM178.75 bilion pada 2020, didorong impak harga yang menggalakkan bagi produk utama sejajar dengan purata harga realisasi yang lebih tinggi.

Aliran Tunai daripada Akti­viti Operasi (CFFO) berada pada RM78.6 bilion dan setakat 31 Di­sember 2021, jumlah aset keseluruhan Petronas meningkat kepada RM635 bilion berbanding RM574.1 bilion tahun sebelumnya.

Perbelanjaan modal Kumpulan berjumlah RM30.5 bilion, keba­nyakan untuk projek huluan.

Petronas turut membayar dividen berjumlah RM25 bilion kepada kerajaan untuk 2021.

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas kekal berdaya tahan selepas dua tahun mengalami gangguan terhadap ekosistem tenaga, meletakkan kumpulan pada tahap lebih baik untuk memanfaatkan pemulihan pasaran.

“Kami bakal melancarkan entiti bebas baharu pada pertengahan tahun ini, yang akan memfokuskan kepada penyelesaian tenaga bersih sepenuhnya, merangkumi tenaga boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau.

“Selain itu, dengan penubuhan Unit Pengurusan Karbon berpusat di bawah perniagaan huluan, kami akan mempercepatkan usaha nyah karbon merentasi Kumpulan,” katanya dalam taklimat pengumuman keputusan kewangan Petronas 2021 di sini, semalam.

Tambah beliau, menerusi dua langkah tersebut, Petronas disa­sarkan untuk mengalami transformasi kepada sebuah superstore yang menyediakan pelanggan penyelesaian perniagaan terbaik dengan tenaga bersesuaian dan memenuhi kemajuan bahan api.

“Tahun ini akan menjadi tahun di mana Petronas perlu menggiatkan usaha secara lebih bermakna dalam mengejar tujuannya untuk menjadi rakan penyelesaian tenaga progresif yang mengkayakan kehidupan untuk masa depan lestari,” ujarnya.

Bagi suku terakhir 2021, Kumpulan mencatatkan untung bersih RM13.4 bilion berbanding kerugian bersih RM1.1 bilion tempoh sama tahun sebelumnya, dan hasil sebanyak RM76.6 bilion, peningkatan daripada RM44 bi­lion pada suku sama tahun lalu, didorong harga realisasi purata yang menggalakkan untuk semua produk.

EBITDA meningkat kepada RM28.1 bilion daripada RM11.9 bilion pada suku sama 2020 selaras dengan hasil yang lebih tinggi diimbangi sebahagiannya oleh kos produk yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN