Perang Rusia-Ukraine akibatkan negara menghadapi krisis logistik

Perang: Harga barangan import naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang yang meletus antara Rusia dengan Ukraine mengakibatkan negara menghadapi krisis logistik. Ini ekoran kos pengangkutan antarabangsa meningkat lebih 16 peratus, sekali gus menyebabkan peningkatan harga barangan import.

Penganalisis ekonomi Uni­versiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan tersebut menjejaskan kos sara hidup di negara ini kerana harga barangan telah meningkat lebih 50 peratus.

Jelasnya, apabila berlaku peperangan dan kemungkinan berlarutan menjadi perang du­nia ketiga, sudah tentu akan meng­akibatkan krisis logistik. Syarikat perkapalan perlu meminimumkan risiko bagi menge­lakkan melalui kawasan terjejas oleh peperangan terutamanya Balkan dan negara Eropah.

“Ini akan menambahkan kos kerana syarikat perkapalan perlu mencari laluan lain untuk menghantar barangan. Selain memastikan tempoh masa penghantaran tidak terjejas kerana perlu melalui jalan yang mungkin lebih jauh daripada sepatutnya.

“Banyak juga barangan kelua­ran Rusia dan penyokong negara itu tidak boleh diimport ke negara-negara seperti Malaysia. Kita pula terpaksa mewujudkan konsep ‘buffer’ dan stok apungan supaya tidak dikesan barang itu datang dari negara sekutu Rusia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Khamis lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, menyifatkan ia sebagai ‘operasi ketenteraan khas’. Bukan bertujuan menduduki negara itu.

Ruang udara Ukraine

Krisis itu juga mencetuskan kembimbangan kepada sektor penerbangan dan logisitik yang mempunyai kepentingan untuk memasuki laluan kedua-dua negara itu.

Justeru, Malaysia Airlines dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia berkata, pihaknya terus mengelak daripada melalui ruang udara Ukraine, Belarus dan Rusia untuk semua penerbangan dari atau ke destinasi Eropah.

Bagaimanapun, penerba­ngan Malaysia Airlines ke London kekal seperti yang dijadualkan.

“Kami melakukan pemantauan aktif melalui Sistem Pemantauan Penerbangan dan menjalani pelbagai penilaian termasuk laporan keselamatan global dan Notis kepada Pe­nerbang (NOTAM) oleh pihak berkuasa kawalan ruang udara masing-masing.

“Semua pesawat kami dilengkapi dengan Komunikasi Satelit (SATCOM) untuk komunikasi segera dengan pesawat untuk sebarang maklumat dan tindakan kritikal seperti laluan semula.

“Keselamatan penumpang­ dan pekerja tetap menjadi ke­utamaan Malaysia Airlines,” ujarnya.

Dalam pada itu, AirAsia memaklumkan, krisis peperangan di Rusia dan Ukraine tidak menjejaskan operasi syarikat kerana AirAsia hanya melakukan pe­nerbangan ke negara-negara ASEAN sahaja buat masa ini.

“Kami tidak terlibat dalam masalah laluan penerbangan di dua negara itu kerana kami sekarang hanya fokus kepada penerbangan domestik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN