KUALA LUMPUR: Syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan, Farm Fresh Berhad bermula cemerlang pada penyenaraian sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, semalam apabila dibuka RM1.70, premium 35 sen berbanding harga tawaran RM1.35.
Ia adalah penyenaraian terbesar di Bursa Malaysia sejak Jun 2021 dengan permodalan pasarannya RM2.5 bilion.
Sebanyak 27.2 juta saham didagangkan dalam penyenaraian sulung syarikat tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, dengan sokongan dan penyertaan pihak berkepentingan, kumpulan itu menyasarkan untuk menjadi peserta serantau dalam ruang barang pengguna cepat laris (FMCG).
Ujarnya, Farm Fresh akan mengembangkan lagi perniagaannya bukan sahaja di pasaran tempatan malah bakal menembusi pasaran serantau lain seperti Hong Kong, Indonesia dan Filipina.
“Dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap produk susu segar, saya yakin Farm Fresh mampu menyampaikan produk yang berkualiti dan bernilai kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar secara maya sempena penyenaraian sulung Farm Fresh di Pasaran Utama Bursa Malaysia, semalam.
Mengulas kenaikan harga produk berikutan harga bahan mentah yang tinggi akibat krisis Rusia-Ukraine, beliau memaklumkan, pihaknya akan terus memastikan harga produk yang mampu milik untuk rakyat Malaysia dan meneruskan kecekapan operasi agar peningkatan kos tidak menjejaskan harga semasa.
“Kami akan melihat sama ada cabaran semasa bersifat sementara atau sebaliknya dan jika keadaan kembali stabil dalam tempoh enam bulan akan datang, kami akan mengekalkan harga produk,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd. Khairul Mat Hassan berkata, penyiapan ladang dan kilang pemprosesan di Taiping tahun ini akan meningkatkan kapasiti huluan dan pertengahan Kumpulan serta mengurangkan kos logistik untuk membekalkan produk susu sejuk ke negeri-negeri di utara Semenanjung.
“Kami menjangkakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 29.8 juta liter tahun ini,” ujarnya.
Farm Fresh mengendalikan lima ladang tenusu di Malaysia dan satu ladang tenusu di Australia, seluas 2,160 hektar tanah, dengan jumlah saiz kumpulan sekitar 9,960 lembu tenusu dan lembu jantan.
Kumpulan itu juga memiliki dan mengendalikan dua kemudahan pemprosesan di Johor dan Pahang dengan kapasiti pengeluaran sekitar 137 juta liter barang siap setahun dan satu kemudahan pemprosesan di Kyabram, Australia, dengan kapasiti pengeluaran sekitar 84 juta liter susu diproses setahun. – UTUSAN









