PETALING JAYA: Pakar ekonomi global memberi amaran bahawa minyak mentah Brent boleh mencecah AS$150 setong dalam tempoh terdekat, jika Barat mengenakan sekatan ke atas minyak Rusia susulan konflik di Balkan.
Menurut laporan di laman web oilprice.com.energy, Rusia mengeluarkan kira-kira lima juta tong minyak mentah dan 2.8 juta tong minyak diproses, dengan sebahagian besarnya di eksport ke Eropah.
“Sekatan ke atas Rusia akan memberikan kesan imbangan bekalan lebih besar berbanding tindakan serupa dikenakan ke atas Venuzuela dan Iran sebelum ini,” jelas laporan itu memetik kenyataan pakar-pakar ekonomi.
Malah jelasnya, belum pun sekatan dikenakan, para pembeli telah pun melaksanakan sekatan kendiri dengan tidak membeli minyak Rusia, bimbang tindakan susulan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Konflik belum berkesudahan Rusia-Ukraine terus melonjakkan harga hadapan minyak mentah Brent di pasaran global semalam melepasi AS$118.10 (RM492.55) naik 6.93 peratus, sementara WTI AS$115.7 (RM482.54) meningkat 7.44 peratus berbanding sesi sebelumnya.
Mengulas senario tersebut, Pensyarah Kanan Putra Business Schools, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan harga minyak global akan memberi implikasi kepada negara.
Menurutnya, dari aspek positif, kenaikan itu akan memberi hasil tambahan kerana Bajet 2022 berdasarkan harga minyak sekitar AS$60 (RM250) setong.
“Oleh itu, hasil negara dijangka meningkat tahun ini, ditambah dengan kenaikan harga minyak sawit. (Minyak sawit kelmarin diniagakan pada kadar RM7,530.50, turun daripada paras tertinggi dalam sejarah, RM8,076.50)
“Namun, kenaikan harga minyak ini bakal memberi beban kepada negara dari segi subsidi minyak, jika kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 seliter.
“Oleh itu, saya melihat ada kemungkinan harga RON95 akan dinaikkan tidak lama lagi untuk mengurangkan beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Ahmad Razman, jika kenaikan RON95 berlaku, harga barang dan kos pengangkutan akan berterusan meningkat seperti yang berlaku pada Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari lalu.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, walaupun harga minyak melonjak sejak konflik Rusia-Ukraine, kerajaan masih mampu membantu mengurangkan bebanan rakyat dari segi pembekalan subsidi bahan api berikutan kekuatan fiskal negara yang makin meningkat.
Beliau berkata, ia disumbangkan oleh keuntungan berlipat kali ganda yang diperoleh syarikat-syarikat minyak dunia termasuk Petronas.
“Dengan durian runtuh daripada kenaikan harga minyak serta posisi ringgit pada RM4.20 untuk AS$1, kerajaan mempunyai kekuatan fiskal yang baik untuk membantu rakyat. Keuntungan daripada kelemahan ringgit itu juga bermakna lebih banyak nilai ringgit diperolehi.
“Ini memberi kekuatan kepada kerajaan untuk terus memberikan subsidi bahan api iaitu petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG),” katanya.
Walau bagaimanapun, Aimi Zulhazmi menegaskan, kenaikan harga barang perlu dikawal kerana setiap kenaikan walaupun satu sen akan memberikan impak berganda kepada semua barang makanan dan keperluan asas.
“Kerajaan juga perlu memastikan tidak berlaku kebocoran subsidi seperti yang sering berlaku di mana diesel bersubsidi dijual secara sembunyi kepada kilang komersial yang menikmati keuntungan berlipat ganda.
“Ini dibuktikan dengan jualan diesel komersial telah turun 40 peratus dan dijangka lebih teruk lagi sekiranya harga minyak terus meningkat. Jumlah jualan diesel di stesen minyak meningkat mendadak dan tidak selari dengan hanya sedikit permintaan daripada sektor pengangkutan,” ujarnya. – UTUSAN










