McDonald’s Malaysia bayar zakat perniagaan

McDonald’s Malaysia bayar zakat perniagaan RM600,000

Majlis pembayaran zakat perniagaan oleh McDonald’s Malaysia kepada Lembaga Zakat Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM600,000 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pembayaran bagi tahun ini merupakan jumlah tertinggi yang telah dibayar kepada LZS semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar zakat perniagaan enam tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Selain bayaran zakat, McDonald’s Malaysia juga telah menyerahkan sumbangan wakalah agihan zakat bernilai RM500 dalam bentuk wang tunai dan baucar kepada 50 keluarga terpilih yang terjejas banjir pada penghujung tahun lepas.

Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman, McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan adalah nilai teras McDonald’s Malaysia, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan zakat.

“Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang zakat sebanyak RM600,000 bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya, khususnya golongan yang terjejas akibat banjir di daerah Banting, Selangor,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pembayaran zakat perniagaan itu.

Turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, yang menyaksikan sumbangan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia oleh Azhar Darbi, kepada Ketua Divisyen Kutipan, Lembaga Zakat Selangor, Muhd. Fikri Naim Harun

Setakat 2021, McDonald’s Malaysia telah membayar zakat perniagaan sebanyak RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia.

McDonald’s Malaysia juga merupakan antara pembayar zakat perniagaan tertinggi bagi negeri Selangor.

Sementara itu, Muhd. Fikri berkata, LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat korporat demi menyantuni kelangsungan asnaf di Selangor.

“Lebih-lebih lagi jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin dijangka meningkat kesan daripada situasi ekonomi sekarang.

“Ini bermakna keperluan agihan zakat juga akan turut meningkat seiring dengan pertambahan asnaf di Selangor,” katanya.

McDonald’s Malaysia telah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd. pada 1 Disember 2016. Dengan pengambilalihan ini, syarikat khidmat segera itu kini dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya terdiri daripada umat Islam.

Selain membayar zakat, McDonald’s Malaysia juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus mendukung komitmen Halalnya kepada para pengguna dalam semua aspek perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×