KOTA BHARU: Syarikat Ayam Perap Makmur Gold (MG) Sdn. Bhd. mensasarkan jualan sebanyak RM25 juta menerusi rangkaian produk utamanya iaitu ayam perap Makmur Gold sepanjang tahun ini.
Pengarah Urusannya , Norzailani Mohd. Nuzi berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan ketua stokis, stokis dan ejen yang kini sentiasa komited memasarkan produk tersebut sehingga mereka berjaya memperoleh pendapatan bulanan hampir lima angka sebulan.
Katanya, dengan sambutan yang amat memberangsangkan pelancaran ayam perap MG tahun lalu kini telah merekodkan jualan sekurang-kurangnya 150,000 paket sebulan dengan anggaran perolehan RM2.9 juta.
“Buat masa sekarang pihak kami berjaya menghasilkan ramai usahawan ayam perap MG dengan melibatkan master stokis 43 orang, stokis 149 orang dan beberapa ejen di setiap negeri.
“Produk ayam perap MG sudahpun memasuki pasar raya dan kedai runcit di seluruh Malaysia dan dalam masa terdekat, kami juga akan memperluaskan rangkaian pasaran ke luar negara iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Norzalaini, eksekutif jualannya telah membuat kajian terperinci mengenai strategi pemasaran lebih agresif untuk pasaran ayam perap MG dan akan sentiasa melatih serta memberi bimbingan kepada stokis, ejen-ejen baharu selok- belok penjualan produk ayam perap MG.
Katanya, perancangan seterusnya syarikat Ayam Perap MG akan mengeluarkan produk-produk lain untuk mempelbagaikan produk ayam sejuk beku dan membuka peluang untuk penswastaan pusat pengedaran kepada individu yang berminat.
Sementara itu katanya, syarikat Ayam Perap MG juga telah menjalin kerjasama dengan Koperasi Makmur Malaysia Berhad (KMMB) untuk menjadi pengedar pasar raya MG Coopmart di seluruh negara.
“Produk ayam perap MG turut dijual secara online dan syarikat kini memiliki beberapa platform digital bagi menggalakkan jualan terus meningkat.
“Kami juga menggunakan pempengaruh media sosial seperti YouTuber, TikToker dan pelbagai jenis platform lain untuk memasarkan produk ini,” ujarnya. – UTUSAN










