SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah bersiap sedia menyambut lonjakan penumpang antarabangsa susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya tidak sabar menanti tarikh berkenaan yang sekali gus menandakan era fasa peralihan kepada endemik Covid-19.
“MAHB sebenarnya sudah lama buat persiapan di semua lapangan terbang diuruskan di negara ini sejajar protokol kesihatan ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan imej baharu hab makanan bersepadu Continents di Hotel Sama Sama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Mac lalu mengumumkan sempadan negara dibuka bagi tempoh peralihan pandemik kepada endemik.
Sebelum sektor penerbangan komersial ditutup pada 18 Mac 2020 lalu, sejumlah 9,587,498 penumpang antarabangsa menggunakan lapangan terbang di negara ini pada tahun tersebut.
Rekod Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk enam bulan pertama tahun lepas pula menyaksikan hanya 511,934 penumpang antarabangsa dicatatkan di seluruh negara.
Angka itu mula merudum teruk apabila pintu sempadan antarabangsa ditutup suku kedua 2020 yang mencatatkan 40,466 penumpang pada April berbanding 1,273,829 pada Mac.
Ia malah terus jatuh kepada rekod terendah dalam sejarah iaitu 32,362 penumpang pada Mei 2020 apabila tiada kemasukan warga asing kecuali rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.
Mengulas lanjut Zambry berkata, pihaknya sudah ada unjuran peningkatan trafik penumpang luar negara melibatkan enam lapangan terbang antarabangsa di bawah kendalian MAHB.
“Saya berasa amat gembira dan berharap akan berlaku peningkatan positif seperti sebelum wabak Covid-19 muncul yang dapat memacu kembali pemulihan semula ekonomi negara,” katanya.
MAHB merupakan operator 39 buah terminal udara komersial di seluruh Malaysia, kecuali Lapangan terbang Antarabangsa Senai, Johor yang dikendalikan firma MMC Corporation Berhad.
Berdasarkan statistik Mavcom, tujuh lapangan terbang antarabangsa di negara ini pernah merekodkan 5.2 juta penumpang asing pada Disember 2019 iaitu paling tinggi dalam sejarah.
Bahkan, data itu menunjukkan secara purata setiap bulan lebih empat juta penumpang luar negara menggunakan terminal udara antarabangsa di negara ini sebelum sempadan ditutup. – UTUSAN










