Khazanah catat keuntungan daripada operasi berjumlah RM670 juta

Keuntungan Khazanah susut kepada RM670 juta

AMIRUL Feisal Wan Zahir (tengah) dalam sidang akhbar Kajian Tahunan Khazanah Nasional Berhad 2022 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan keuntungan daripada operasi berjumlah RM670 juta pada 2021, lebih rendah berbanding RM2.9 bilion yang diperoleh pada 2020.

Penyusutan keuntungan itu antaranya disebabkan bantuan kewangan berterusan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat dalam sektor penerbangan dan pelancongan miliknya yang berhadapan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, perolehan nilai saksama lebih rendah serta pendapatan dividen lebih kecil daripada syarikat pelaburannya akibat pendapatan yang lemah pada 2020 turut menyumbang kepada penyusutan tersebut.

Sayap pelaburan kerajaan itu mencatat Nilai aset bersih (NAV) RM86 bilion bagi 2021, lebih tinggi berbanding RM79 bilion tahun sebelumnya.

Khazanah melaksanakan pelaburan baharu berjumlah RM8.7 bilion pada 2021, yang mana 41.7 peratus atau RM3.6 bilion dilaburkan di Malaysia serta berjaya memperoleh RM4.8 bilion hasil daripada pengewangan aset dalam portfolionya.

Bagi tahun 2021, Khazanah telah mengisytiharkan pembayaran dividend berjumlah RM2 bilion kepada kerajaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah akan terus menyalurkan bantuan dana sebanyak RM6 bilion kepada Malaysia Airlines untuk tempoh lima tahun selepas menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.3 bilion tahun lalu.

“Semua bantuan kewangan ini bergantung kepada sama ada syarikat penerbangan ini dapat meneruskan aktiviti penerbangannya dan ia hanya boleh dilakukan jika orang dibenarkan untuk melakukan perjalanan.

“Justeru, kami amat berharap sempadan antarabangsa akan dibuka secepat mungkin, lebih cepat lebih baik,” katanya pada sidang akhbar Kajian Tahunan Khazanah 2022, di sini semalam.

Menurut beliau,walaupun berhadapan cabaran akibat sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi yang berkurangan di peringkat global, Khazanah tetap berjaya mencipta nilai, menjana pulangan pelaburan yang kukuh dan meningkatkan NAV sebanyak RM7 bilion.

Jelasnya, Khazanah turut mencatatkan pertumbuhan serta melindungi asetnya bagi pihak negara dengan NAV mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.8 peratus sejak 2004.

“Kami juga meneruskan usaha pengimbangan semula portfolio ke arah mencapai kedudukan portfolio yang lebih terpelbagai serta melaksanakan usaha untuk menyokong syarikat pelaburan kami yang paling terjejas akibat Covid-19 terutama dalam sektor penerbangan dan pelancongan.

“Kami juga berjaya melakukan penyelesaian proses penstrukturan semula Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) yang menyaksikan pengurangan liabiliti sebanyak RM15 bilion yang membolehkan MAGB lebih kukuh dari segi kewangan.

“Langkah ini juga mempersiapkan syarikat penerbangan itu untuk meneruskan operasinya apabila aktiviti perjalanan udara pulih kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN