PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, pemberian subsidi bahan api perlu dikekalkan meskipun harga minyak mentah global sedang mengalami lonjakan ke paras tertinggi berikutan konflik Rusia-Ukraine.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, langkah itu perlu bagi mengekang kenaikan inflasi di dalam negara.
“Jika dilihat, setakat ini, hanya minyak RON95 dan diesel yang menerima subsidi manakala RON97 telah diapungkan mengikut harga semasa.
“Subsidi itu wajar dikekalkan kerana jika ia dihenti atau dikurangkan, kesan lebih besar adalah inflasi yang bakal melanda.
“Seperti yang kita sudah tahu, minyak merupakan komponen utama dalam pengeluaran, pembuatan mahupun sektor logistik.
“Kesan limpahan kenaikan kos itu bakal menjerat rakyat dengan inflasi yang mungkin agak tidak terkawal dan menjadi beban yang besar khasnya apabila ekonomi kita dalam proses pemulihan dan pengukuhan.
“Walaupun subsidi bersasar mungkin dicadangkan, namun, dari segi pelaksanaan ia agak kompleks, dan tidak begitu mudah untuk dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan harga RON95 dikekalkan pada kadar RM2.05 seliter, sementara diesel pada harga RM2.15 seliter. Harga tersebut telah dikekalkan sejak 10 Februari 2021.
Menurut laman web Kementerian Kewangan, berikutan peningkatan harga komoditi di peringkat global, subsidi produk petroleum petrol RON95, diesel dan LPG serta minyak masak bersubsidi dijangka meningkat dengan mendadak.
Jelasnya, pada 2021 kerajaan telah menampung subsidi sehingga RM8 bilion, iatu RM4.22 bilion lebih tinggi daripada yang diperuntukkan.
Mengambil senario semasa harga minyak global, ada pihak berpendapat, pemberian subsidi tersebut wajar diteliti bagi mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan.
Sebaliknya, mereka menyarankan pemberian subsidi bersasar dilaksanakan bagi memastikan kumpulan sasar tetap dibantu.
Dalam pada itu, Baharom turut berpendapat, kesan kenaikan harga minyak mentah kepada negara adalah positif memandangkan ia menyumbang kepada pendapatan negara dari segi makro dan mikro.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin berkata, lonjakan harga minyak mentah adalah reaksi segera dan implikasinya ke atas ekonomi global mungkin agak ketara terutama di negara maju dan pesat membangun, termasuk Malaysia.
“Berdasarkan permintaan dan penawaran, negara pengeluar minyak mentah memiliki keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memanfaatkan tempoh krisis dan memenuhi permintaan pengguna.
“Harga minyak mentah didagangkan sekitar AS$130 (RM543.40) setong ketika ini dan semakin menghampiri paras AS$150 (RM627.00) setong selain turut mempengaruhi komoditi lain memandangkan Russia dan Ukraine adalah antara pengeksport terbesar komoditi dunia.
“Sehingga adanya gencatan senjata di Russia dan Ukraine, kita akan melihat harga minyak mentah dan komoditi lain kekal tinggi,” katanya. – UTUSAN










